Pages

Tuesday 13 November 2012

GPMS BUAT LAPORAN POLIS PROGRAM IJAZAH QURAN TAK IKTIRAF MENGANIAYAAI PELAJAR

Sumber :
Bernama
Kosmo


ALOR SETAR — Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah bersedia menawarkan pekerjaan kepada tujuh lulusan Sarjana Muda Al-Quran Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd Ghani berkata pihaknya mempelawa mereka menjadi tutor kelas tambahan yang akan dibuka GPMS Kedah pada Disember ini.

"Mereka akan mengendalikan kelas al-Quran, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini hari ini.

Katanya, diharapkan dengan cara itu siswazah terbabit dapat menyelesaikan hutang pinjaman pengajian mereka mengikut jadual.


"Boleh dikatakan setiap pelajar mendapat pinjaman berjumlah lebih RM3,000 setiap semester peringkat ijazah, namun disebabkan sukar mendapat kerja mereka tidak dapat membayar balik wang pinjaman,” katanya.

Jika berminat, mereka boleh menghubunginya di talian 016-3862042 atau Salihuddin Lahamin (019-5481900) untuk maklumat lanjut, kata Shamsul Bahar.

Difahamkan tujuh siswazah terbabit yang ijazahnya tidak diiktiraf MQA kini terpaksa bekerja sebagai pemandu teksi serta menoreh getah untuk menyara hidup sementara menunggu kelulusan sijil.

Media pada 24 Sept lalu melaporkan tujuh siswazah itu terkejut apabila mendapati ijazah yang diterima mereka pada Konvokesyen Kuin 17 Sept lepas tidak diiktiraf MQA. — BERNAMA