MEMORANDUM
BANTAHAN DAN KESAL DENGAN KENYATAAN
YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR KEDAH
MENGHERET ISU KEBAJIKAN KUIN
KE DALAM KANCAH POLITIK DENGAN TUDUHAN
MELULU SEBAGAI EJEN UMNO
19 FEBRUARI
2013 (SELASA)
PEJABAT YANG
AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR KEDAH DARULAMAN
MUQADDIMAH
Kami
SELURUH kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sangat kesal di atas
dakwaan YAB Menteri Besar Kedah bahawa kakitangan
KUIN yang memperjuangkan hak dan kebajikan kakitangan sebagai ejen UMNO tanpa
sebarang bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan melulu beliau. Ketika Negeri Kedah di bawah pentadbiran
Kerajaan BN, KUIN didakwa sebagai lubuk PAS sehingga mengakibatkan pentadbiran
negeri menjadi milik PAS melalui PRU12-2008.
Apakah
alasan yang membuktikan bahawa kakitangan KUIN adalah ejen UMNO? Seorang muslim mukmin adalah berdosa menuduh
tanpa bukti.
Sepatutnya
sebagai seorang Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang juga Pengerusi Lembaga
Pengarah KUIN, mengambil pendekatan bersikap terbuka dan berlapang dada dengan
menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk mengenalpasti permasalahan yang dihadapi
oleh kakitangan KUIN sehingga menimbulkan keadaan yang sangat kritikal
sekarang.
Sebagai
seorang yang berkuasa di Negeri Kedah, Menteri Besar hendaklah bersikap adil bagi memastikan pentadbiran yang
berslogankan “Negara Berkebajikan, Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua “ dilaksanakan
dengan secara menyeluruh supaya tiada rakyat yang teraniaya disebabkan Kerajaan
Negeri terlepas pandang.
Menteri
Besar tidak sepatutnya mengamalkan dasar menutup pintu dengan tuduhan melulu
tanpa berlapang dada untuk mendengar rintihan kakitangan yang mendakwa
dianiayai dan dinafikan kebajikan sehingga masalah dalaman KUIN terus
menimbulkan kerumitan.
YAB
sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan
media bahawa YAB Dato Seri enggan ambil tahu isu KUIN bagi mendengar serta
menyelesaikan perkara ini sehingga menyebabkan kehidupan kami sekalian menjadi
sukar dan menyulitkan.
Jika
beginilah sikap yang ditunjuk oleh seorang pemimpin, di mana lagi kami sebagai
rakyat Kedah boleh mengadu? Tiada
seorangpun pemimpin Kerajaan Negeri Kedah tampil membantu mencari jalan
penyelesaian bagi mengatasi masalah yang kami hadapi disebabkan kedangkalan
ilmu pengurusan pentadbiran seorang Rektor yang menjadi kesayangan Menteri
Besar. Hatta EXCO Pendidikan pun
mengambil sikap tidak peduli serta seringkali memberi kenyataan akhbar yang
tidak tepat dan tidak berasas.
Nampaknya
Menteri Besar tidak kenal sepenuhnya peribadi Rektor KUIN yang ternyata dengan
jelas gagal mengurustadbir dengan cekap dan amanah mengakibatkan KUIN sedang
menghadapi masalah kewangan yang sangat kritikal lantas sebahagian besar kakitangan
KUIN hilang kepercayaan kepada beliau.
Rektor
telah gagal meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang
merupakan ‘core business’ setiap IPT
sehingga menyebabkan graduan tidak berdaya saing serta kurang mendapat tempat
di pasaran. Sangat ego dan keras hati, gagal mentadbir sebuah IPT kerana tiada
pengalaman dalam pentadbiran, membuat keputusan ikut kehendak sendiri walaupun
diputuskan dalam mesyuarat tetapi akan diubah sekiranya tidak memihak
kepadanya, gemar bermusuh dengan sesiapa sahaja sekiranya cuba membetulkan
sebarang kesilapannya, serta tidak menggalakkan silaturahim di kalangan
kakitangan.
ISU-ISU
BERBANGKIT
Antara permasalahan yang
dihadapi oleh staf KUIN adalah disebabkan perkara-perkara berikut:
1.
Kebajikan
Kakitangan INSANIAH
1.1 Rektor langsung tidak mempedulikan atau
mengambil tahu kebajikan kakitangan sehingga mengakibatkan potongan gaji kepada
pihak ketiga seperti bank, KWSP, Tabung Haji, Jabatan Zakat, Institusi Insuran
dan lain-lain agensi telah tidak dibayar mengakibatkan kakitangan KUIN mendapat
notis amaran serta notis saman dari bank, kereta akan ditarik kerana
berbulan-bulan tidak dibayar. Potongan caruman kepada KWSP juga tidak
dibayar bagaimanapun pihak pentadbiran hanya membayar denda dan kompaun sahaja
yang benilai puluhan ribu ringgit sebulan.
1.2
Kakitangan KUIN
juga telah dinafikan hak kenaikan gaji 13%, kenaikan elaun colar,bonus serta
opsyen pencen 60 tahun seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.
Sepanjang 16 tahun beroperasi, inilah kali pertama Pentadbiran KUIN tidak menggunapakai pekeliling pentadbiran
kerajaan dengan alasan KUIN telah diswastakan sedangkan pengswastaan KUIN tidak
pernah digazetkan di dalam Dewan Undangan Negeri Kedah. Kami, semua kakitangan tidak pernah dimaklumkan
tentang status KUIN secara hitam putih, jika Pengurusan Tertinggi KUIN dan
Lembaga Pengarah sedar bahawa KUIN adalah swasta kenapa tiada opsyen penukaran
status di dalam surat perlantikan kakitangan KUIN? Jika benar KUIN adalah
swasta kenapa kadar gaji antara Insaniah Holdings Sdn Bhd dan KUIN tidak sama
dan amat jauh berbeza ?
1.3
Adakah ini
menunjukkan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Tertinggi KUIN tidak prihatin
tentang kebajikan kakitangan ataupun sememangnya ada muslihat untuk kepentingan
mereka dengan menidakkan pekeliling kerajaan bagi membolehkan kronisme dan
nepotisme berleluasa. Bagaimana boleh
dikatakan swasta sedangkan skim perkhidmatan dan tangga gaji semua kakitangan
termasuk Rektor dan perlantikan Rektor menggunakan skim kerajaan sejak mula
penubuhan pada 1995 hingga sekarang.
2. Insentif Perpindahan ke Kuala Ketil
2.1 Arahan
supaya berpindah segera ke Kampus Kuala Ketil walaupun kelulusan belum lagi
diterima dari Kementerian Pengajian Tinggi.
Memandangkan 95 peratus
kakitangan KUIN tinggal di Alor Setar, perpindahan ke
Kampus Kuala Ketil merupakan beban yang sangat berat kepada kakitangan KUIN
kerana untuk kos sewa rumah di Kuala Ketil telah meningkat dengan serta merta,
untuk sebuah rumah kos rendah dua bilik harga sewaan yang diberi dari RM450
hingga RM700 sebuah. Gaji kakitangan
bawahan hanya sebanyak RM1200 yang perlu dibelanjakan untuk menampung hidup di
Kuala Ketil. Sedangkan Rektor telah
dibayar gaji serta pelbagai elaun kira-kira RM20,000 sebagai insentif untuk
berkhidmat di INSANIAH di samping kenderaan, petrol, touch ‘n go serta pemandu.
2.2 Kami
semua kakitangan KUIN tidak pernah menentang
perpindahan ke Kampus Kuala Ketil, malah amat berbangga mempunyai sebuah kampus
baru yang menjadi kebanggaan peribadi Menteri Besar tetapi bagaimana mahu
menyokong arahan Menteri Besar sedangkan kebajikan kami langsung tidak
dipedulikan. Di dalam plan asal
pembangunan Kampus Kuala Ketil terdapat bangunan-bangunan asrama pelajar dan
quarters penginapan untuk kakitangan serta telah termasuk dalam kos
pembinaan.
2.3 Bagaimanapun
sekarang ini, setelah diarah berpindah, didapati tiada asrama pelajar dan
quarters penginapan, oleh itu bukan kakitangan sahaja malah pelajar turut
bermula awal Mac 2013. Sedangkan di dalam manifesto semasa Pilihanraya ke 12
tahun 2008 telah dijanjikan sebuah kampus yang lengkap dengan kemudahan untuk keselesaan
pembelajaran pelajar dan kemudahan kakitangan.
2.4 Adakah
Menteri Besar tahu dan sedar bahawa Rektor tidak pernah melakukan ‘feasibility studies’ yang merupakan
keperluan sebuah IPT sebelum penawaran kursus pengajian dilaksanakan? Kedangkalan ilmu pengurusan Rektorlah menyebabkan
INSANIAH menanggung beban dan kerugian kerana gagal membuat perancangan dan ‘feasibility studies’ kelestarian IPTS
yang menjadi keperluan sebuah IPT. Sejarah
menunjukkan Rektor sendiri amat cetek dengan ilmu pengurusan disebabkan
di UIAM beliau hanyalah seorang Dekan Kemasukan & Rekod yang menguruskan
fail-fail pelajar sahaja, ini telah mengakibatkan kepada kekusutan dan
kesulitan yang terpaksa diselesaikan oleh penggantinya.
3. INSANIAH Holdings Sdn Bhd
3.1 Atas arahan YAB Menteri Besar, KUIN telah
menubuhkan Insaniah Holdings Sdn Bhd bertujuan menjalankan perniagaan bagi
menjana keuntungan untuk menampung wang peruntukan Kerajaan Negeri yang jelas
tidak mencukupi untuk pengurusan sebuah IPT seperti KUIN kerana pelajar hampir
6,000 orang serta kakitangan hampir 600 orang.
3.2 CEO Insaniah Holdings, Dr Ramli Saad
dibayar gaji RM40,000 sebulan, CEO-CEO anak-anak syarikat subsidiari serta
Pengawal Kewangan dibayar gaji melebih RM10,000 sebulan seorang di samping itu
kakitangan Insaniah Holdings dibayar gaji yang amat tinggi dari kakitangan KUIN. Apakah jasa Dr. Ramli Saad sehingga dibayar
gaji begitu tinggi dengan menghabiskan duit Kerajaan Negeri sedang gaji Menteri
pun tidak sebanyak itu?
3.3 Ahmad Skhri Ramli yang dilantik sebagai Pengawal
Kewangan Insaniah Holdings telah
disabitkan terhadap dua pertuduhan bawah seksyen 41(1)(a) SIA 1983 yang dibaca
bersama dengan seksyen 122C(c) akta yang sama kerana bersubahat dengan PBSN
dalam melakukan jualan singkat 202 lot saham-saham AKN Technology Berhad dan
telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan
denda sebanyak 300,000.00 (atau 12 bulan penjara), (maklumat dari Suruhanjaya Sekuriti
Malaysia). Kredibiliti beliau mengurus
kewangan sangat meragukan selaku seorang yang pernah dijatuhkan hukuman sebagai
seorang penjenayah.
3.4 Adakah Menteri Besar tahu dan sedar bahawa
sehingga ke hari ini, Insaniah Holdings gagal menjalankan apa-apa perniagaan
hatta gaji kakitangan Insaniah Holdings dibayar menggunakan peruntukan Kerajaan
Negeri diambil dari kewangan KUIN, akibat dari keadaan ini, KUIN sedang
menghadapi kedudukan kewangan yang sangat kritikal sejak tahun 2011. Segala potongan gaji kakitangan KUIN yang
sepatutnya dibayar kepada pihak bank dan agensi berkaitan digunakan untuk
membayar gaji kakitangan Insaniah Holdings.
4. Pemalsuan Dokumen
4.1 Kakitangan KUIN berharap bahawa
pemerintahan Kerajaan Negeri di bawah YAB Menteri Besar lebih
Islamik, telus dan tiada
unsur-unsur penipuan, namun apa yang berlaku, banyak dokumen yang dipalsukan
terutama laporan kewangan Holdings yang mencatatkan keuntungan berlipat ganda
sedangkan hakikatnya tiada sebarang keuntungan yang dijalankan. Adakah logik akal mendapat keuntungan tanpa
sebarang perniagaan, begitu hebat sekali kakitangan INSANIAH Holdings bekerja?
4.2 Pada 31 Oktober 2012, Syarikat Shake
Cuisine Sdn Bhd dari Sungai Petani telah menang saman sebanyak RM1.599 juta
setelah INSANIAH gagal menjelaskan tuntutan perkhidmatan penginapan yang telah
disediakan oleh syarikat berkenaan kepada pelajar-pelajar INSANIAH di Kampus
Cawangan Sungai Petani. Rektor telah mengarahkan Setiausahanya menyediakan
minit mesyuarat palsu sebagai bukti di Mahkamah Tinggi Alor Setar, bagaimanapun
perbicaraan tersebut telah memihak kepada syarikat berkenaan. Minit tersebut hanya disediakan selepas
mendapat surat saman dari Shake Cuisine pada April 2012 dan di’backdated’’ pada 14 Oktober 2009.
4.3 Menteri Besar sepatutnya bersujud syukur
kerana Allah Maha Mengetahui telah membuka hijab kemungkaran yang dilakukan
oleh Rektor dengan memberi kemenangan kepada Shake Cuisine dan Allah juga telah
memperkenankan doa orang-orang yang dizalimi.
Begitu juga Allah memberi kemenangan kepada 5 pelajar KUIN yang
digantung pengajian hanya kerana menegur pentadbiran Jamil dan Menteri Besar, walaupun
Menteri Besar mengarahkan peguam Karpal
Singh mewakili INSANIAH.
4.4 Untuk makluman Menteri Besar, dokumen SETARA
11 yang dibangga-banggakan mendapat TIER
4 hanyalah dokumen yang diragukan dipalsu dan ditiru yang disediakan pada bulan
Februari 2012 dalam satu bengkel di Jerai Regency, Gunung Jerai. Semua dokumen tersebut juga diarah supaya di’backdated’’ bagi memenuhi keperluan
instrumen SETARA. Kakitangan yang
dilantik menjadi sekretariat SETARA berasa sangat berdosa kerana bersubahat
dengan Rektor menyediakan dokumen palsu.
Seorang pegawai tinggi di bahagian akademik KUIN telah menciplak dokumen
SETARA milik KUIS bagi kegunaan KUIN, begitu rupanya cara kerja matlamat menghalalkan cara.
TUNTUTAN
Kami
SELURUH kakitangan KUIN menuntut supaya:
1.
Rektor selaku
Ketua Eksekutif INSANIAH ditamatkan perkhidmatannya serta merta kerana ternyata
gagal mentadbir dengan cekap dan amanah, di bawah Perkara 33 Akta 555 (Akta
Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996):
Kewajipan Ketua Eksekutif
33. Ketua Eksekutif hendaklah, tertakluk
kepada peruntukan Akta ini dan perlembagaan institusi pendidikan tinggi swasta
itu, menjalankan penyeliaan am ke atas perkiraan bagi ajaran, pentadbiran,
urusan hari ke hari, kebajikan dan disiplin di institusi pendidikan tinggi
swasta itu.
2.
INSANIAH Holdings
Sdn Bhd dan anak anak syarikat subsidarinya ditutup operasi serta merta serta
semua kakitangannya juga ditamatkan perkhidmatan serta merta kerana syarikat
ini merupakan liabiliti kepada KUIN serta Kerajaan Negeri. Kakitangan KUIN yang
dipinjamkan ke Insaniah Holdings Sdn Bhd diambil kembali berkhidmat di KUIN.
3.
Menerima Pekeliling
Perkhidmatan Awam dengan membayar tunggakan kenaikan gaji 13 % bermula Januari 2012, tambahan elaun sara
hidup RM 50.00 dari jumlah yang sedang dibayar serta bayaran bonus tahunan .
4.
Menamatkan kakitangan
akademik luar negara yang bermasalah dan tidak menunjukkan prestasi kerja yang
baik serta membebankan.
5.
Membayar semua
tunggakan pinjaman kakitangan ke bank-bank, institusi kewangan dan pihak
ketiga yang masih tertunggak dan
membersihkan nama kakitangan yang disenarai hitamkan di dalam sistem CTOS dan CCRIS.
6.
Menutup semua
kuliah-kuliah dan program pengajian yang tidak mempunyai pelajar dan
memperkasakan program pengajian Islam yang menjadi teras kepada kehebatan KUIN
sejak bertahun-tahun sebelumnya.
7.
Mengembalikan
semula sebahagian pentadbiran Kulliyyah
yang kini berada di bawah Insaniah Holdings kepada pentadbiran di bawah KUIN yang dikendalikan
Hal Ehwal Akademik seperti Pusat Bahasa, Kulliyyah Hospitaliti, Kulliyyah
Multimedia dan Kulliyyah Kaunseling
PENUTUP
Menteri
Besar sepatutnya melihat dengan mata hati, pihak manakah yang menang? Tanpa
disedari Rektor telah memperalatkan Menteri Besar untuk menjatuhkan Pakatan
Rakyat kerana Rektor hanya menjadi ahli PAS pada Ogos 2008 sedangkan semasa
Dato’ Seri Syed Razak Barakbakh menjadi Menteri Besar, Rektor dilantik sebagai Ahli
Jawatankuasa Induk Kedah Maju 2010.
Siapakah ejen UMNO yang sebenarnya? Rektor atau kakitangan? Semoga YAB Menteri Besar banyak-banyaklah
bermuhasabah.
JAGALAH
ALLAH, ALLAH PASTI JAGA HAMBANYA
JAGALAH
RAKYAT, RAKYAT PASTI JAGA PEMIMPINNYA
JAGALAH
KAKITANGAN, KAKITANGAN PASTI MENJAGA INSTITUSINYA
Yang
benar ,
19
Februari 2013