Sumber :
ALOR SETAR 26 Feb. - Warga kerja Kolej Universiti Insaniah (Kuin)
meminta Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan dan menyiasat dakwaan
penyelewengan dalam pengurusan tertinggi institusi itu.
Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim turut
menyarankan agar kementerian itu menubuhkan jawatankuasa khas bagi
menyiasat Rektor Kuin, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman yang didakwanya
penyebab utama Kuin mengalami masalah kewangan serius.
"Mereka mewujudkan anak-anak syarikat Kuin yang sebenarnya mempunyai
agenda tertentu, bukannya untuk berniaga atau mendatangkan keuntungan
kepada Kuin.
"Dengan wujudnya anak-anak syarikat ini, Kuin mengalami masalah
kewangan yang sangat buruk dalam sejarahnya ditubuhkan pada 1995,"
dakwanya pada sidang media, di sini hari ini.
Katanya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bagi mengetahui sama ada beliau mempunyai kepentingan dalam penubuhan semua anak syarikat berkenaan.
Muhammad Azki Hafizi berkata, pihaknya juga mempunyai bukti pengurus
kewangan anak syarikat Kuin, Insaniah Holdings mempunyai rekod jenayah
dan pernah dijatuhkan hukuman kerana menipu (membabitkan kewangan).
"Jika seorang penjenayah yang menjadi pengawal kewangan, maka kita boleh nilai sendiri kredibiliti pengurusan syarikat terbabit.
"Kami cakap berasaskan bukti dan fakta, kalau kami salah, tipu, silalah saman kami," katanya.
Muhammad Azki Hafizi berkata, bagi pihak lebih 400 warga kerja Kuin,
beliau turut mendesak agar Azizan menutup segera operasi semua anak
syarikat kolej universiti itu yang penubuhannya dipersetujui oleh
Menteri Besar dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Kuin.
Sementara itu, Pensyarah Kuliah Muamalat, Sajiah Yakob menyifatkan
pengurusan Kuin sering tergesa-gesa dalam membuat keputusan sehingga
menyusahkan staf serta pelajarnya.
"Dulu tergesa-gesa suruh pindah ke Stargate (Alor Setar), sekarang
tergesa-gesa pula suruh kami pindah ke Kuala Ketil sedangkan kampus di
sana belum proper (lengkap).
"Sekarang panjangkan cuti sampai 17 Mac ini sedangkan pelajar
sepatutnya mula kelas 3 Mac ini, sebabnya kampus Kuala Ketil tak ada
asrama lagi dan bangunan asrama sementara pun belum siap," katanya.
Sajiah turut menyifatkan Azizan dan Jamil sebagai pengecut kerana
sering menukarkan atau memberhentikan warga kerja yang berani tampil
menuntut hak mereka, selain menuduh mereka ejen UMNO. - BERNAMA