Pages

Friday 15 February 2013

KUIN MELATAH , MARAHKAN KAKITANGAN BUAT LAPORAN DI JABATAN BURUH, HADAPI TINDAKAN DISIPLIN

KUALA LUMPUR 14 Feb. - Perjuangan kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) bagi mendapatkan semula hak dan kebajikan mereka khususnya dalam soal gaji seolah-olah tidak disenangi pihak pengurusan tertinggi kolej tersebut.

Sumber dalaman Kuin memberitahu, pengurusan tertinggi kolej berkenaan berang apabila isu kelewatan pembayaran gaji kakitangan yang berlarutan sejak lebih setahun lalu dibawa ke pengetahuan Jabatan Tenaga Kerja.

Menurut sumber berkenaan, pengurusan tertinggi Kuin dijangka mengadakan semakan Perlembagaan dan kaedah kelakuan bagi membolehkan kakitangan terlibat memperjuang kebajikan diambil tindakan tatatertib.

Beliau yang kecewa dengan tindakan tersebut mempersoalkan mengapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak langsung tidak mengambil peduli mengenai untung nasib kakitangan Kuin yang ditindas.

"Kami hanya memperjuangkan hak dan kebajikan selaku kakitangan. Gaji kami yang lewat dibayar setiap bulan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan Lembaga Tabung Haji dan ansuran bank yang gagal dijawab.

"Kakitangan semakin teraniaya dengan masalah itu dan kami memilih untuk menyuarakan perkara ini kepada Jabatan Tenaga Kerja kerana Menteri Besar sendiri lebih sayangkan 'anak emas' beliau yang kini menerajui pengurusan Kuin.

"Azizan langsung tidak ambil peduli mengenai nasib kami. Inikah contoh seorang Menteri Besar? Malah kami pula yang mahu dikenakan tindakan tatatertib kerana memperjuang kebajikan sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada 6 Februari lalu, sekumpulan 20 kakitangan Kuin diketuai pensyarah, Mohd. Farid Alias membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja bagi mendesak hak mereka khususnya gaji bulanan dibayar dengan segera.

Beberapa hari selepas itu, Azizan pula didesak agar mengambil tindakan ke atas pengurusan tertinggi Kuin kerana didakwa terlibat berkomplot membuat minit mesyuarat palsu untuk digunakan dalam perbicaraan satu kes mahkamah.

Bagaimanapun, Azizan seperti biasa sejak setahun lalu mengambil pendekatan mengunci mulut setiap kali kemelut Kuin dibangkitkan, menyebabkan isu kebajikan para kakitangan berlarutan sehingga hari ini.

Dalam pada itu, sumber dalaman Kuin tersebut menjelaskan, mereka tidak takut dengan kemungkinan dikenakan tindakan tatatertib kerana percaya perjuangan yang dibuat adalah bersandarkan kepada kebenaran.