Sumber :
Bernama/ Utusan/Sinar
KUALA NERANG, 24 Feb -- Kakitangan Kolej Universiti
Insaniah (KUIN) hanya menuntut hak mereka yang dikata diabaikan kerajaan
Kedah dan bukan menjadi ejen parti politik tertentu.
Menegaskan demikian, ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kedah,
Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tuduhan Menteri Besar Datuk Seri
Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi KUIN bahawa kakitangan KUIN
sebagai ejen UMNO adalah tidak benar.
"Kalau mereka berani berhadapan dengan media, berani buat laporan
polis, bawa memorandum ke Wisma Darul Aman dan pensyarah KUIN sendiri
adakan sidang media, saya tidak fikir mereka jadi ejen sesiapa.
"Pada saya mereka menuntut hak sahaja tapi kalau kerajaan negeri tidak
mampu nak tunaikan dan tidak cekap dalam urusan kewangan, inilah jadinya
bila pandai bercakap sahaja," kata Mahdzir.
Beliau diminta mengulas dakwaan yang dibuat oleh Azizan, selepas
melancarkan program khidmat masyarakat Mara dan penyerahan baucer buku
1Malaysia di Kolej Mara Kuala Nerang di Kuala Nerang, Ahad.
Tuduhan Azizan bahawa kakitangan KUIN terbabit tidak hadir pada
mesyuarat dengan beliau bagi membincangkan masalah dihadapi mereka
adalah palsu, kata Mahdzir.
Menurut penjelasan Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Muhammad Azki Hafizi
Ibrahim Jumaat lepas bahawa pernah cuba berbincang dengan Azizan
mengenai isu tersebut pada Mei tahun lepas tetapi tidak mendapat
perhatian Azizan.
Mahdzir berkata slogan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' yang dibawa
PAS tidak bermakna kerana mereka tidak mempraktikkannya.
-- BERNAMA