ALOR SETAR 28 Feb. - Staf Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hari ini membuat pendedahan berhubung isu membabitkan institusi itu pada perhimpunan
'Pentas Bersih Kuin 1.0' yang dihadiri lebih 200 orang awam, staf dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tampil mendedahkan isu yang didakwa telah menjejaskan kebajikan warga
kerja KUIN itu ialah Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Usuluddin, Mohd.
Baihaqi Hassan; Ketua Program Kuliah Muamalat, Ahmad Faizal Asmy Mohd.
Yunus dan Pensyarah Kuliah Hospitaliti dan Perkhidmatan Halal, Mohd.
Farid Alias .
Pada perhimpunan lebih sejam yang diadakan di kawasan Jalan Suka
Menanti di sini, mereka turut mendesak Rektor Kuin, Prof. Datuk Dr.
Jamil Osman supaya meletak jawatan.
Antara isu didedahkan pada 'Pentas Bersih KUIN 1.0' itu ialah dakwaan
salah laku Rektor seperti membuat dokumen palsu, lantikan kroni dalam
pengurusan tertinggi Kuin, kegagalan pembayaran gaji mengikut waktu dan
kelewatan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mohd. Baihaqi dalam ucapannya berkata, pelajar KUIN turut teraniaya
apabila diarah berpindah segera ke kampus induk di Kuala Ketil sedangkan
kolej kediaman tidak disediakan oleh pihak pengurusan kolej universiti
itu.
"Sebelum ini dijanjikan ada penginapan untuk tampung 7,000 pelajar di
Kuala Ketil, tapi pembinaan dibatalkan sebab nak potong kos, masjid pun
tidak dibina.
"Rumah sewa di Kuala Ketil yang dulunya hanya RM250 sebulan naik
hingga RM1,500 dan pelajar terpaksa menyewa kerana tiada tempat tinggal
selain harga roti canai (dan makanan lain) pun dah naik mendadak," kata
Mohd. Baihaqi.
Ahmad Faizal Asmy pula berkata, warga kerja Kuin terpaksa mengadakan
perhimpunan seperti ini kerana pintu rundingan dengan kepimpinan
tertinggi iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin yang juga Menteri Besar,
Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah tertutup.
"Sebab itulah kami terpaksa memilih jalan ini (bertemu media dan mengadakan perhimpunan) bagi menegakkan kebenaran," katanya.
Mohd. Farid pula berkata, walaupun menerima tekanan daripada pihak
pengurusan tertinggi KUIN kerana berjuang habis-habisan untuk menuntuk
hak mereka, beliau tetap menjalankan tugas dengan baik kerana menyedari
tanggungjawabnya sebagai pendidik.
"Kuliah Hospitaliti diletakkan di bawah Insaniah Holdings (anak
syarikat Kuin) secara terpaksa namun kami tetap buat kerja... sepatutnya
anak syarikat buat untung untuk KUIN tapi yang berlaku sebaliknya sebab
Insaniah Holdings tak buat untung langsung," katanya.
Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim pula
memberitahu, sembilan warga kerja yang mendedahkan isu-isu Kuin sebelum
ini telah diminta menyediakan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari
atau akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak pengurusan.
"Kami menerima surat itu sejak semalam dan hari ini dan jika gagal
sediakan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari kami akan menghadapi
tindakan buang kerja atau digantung perkhidmatan.
"Perkara ini berlaku selepas kami mula membuat pendedahan kepada media secara lebih agresif baru-baru ini," katanya.
Muhammad Azki Hafizi berkata, pihaknya akan menganjurkan 'Pentas
Bersih Kuin 2.0" dalam masa terdekat bagi mendesak Jamil dan Azizan
berundur daripada KUIN. - BERNAMA