Pages

Saturday, 2 March 2013

APA RAHSIA DI SEBALIK CUTI PERTENGAHAN SEMESTER SELAMA 7 MINGGU ?



Cuti pertengahan semester bagi semua pelajar Kolej Universiti Insaniah bermula pada 27 Januari 2013 yang lalu. Perpindahan ke Kuala Ketil menyebabkan cuti pertengahan semestar ini dilanjutkan sehingga 5 minggu, pada awalnya ( sepatutnya kuliah akan bermula pada 3hb Mac 2013). 

Keadaan ini disebabkan oleh asrama pelajar di Kampus Kuala Ketil tidak siap. Asrama yang dijanjikan adalah asrama jenis pasang siap. Pada pertengahan Februari pula, memandangkan asrama pasang siap tersebut tidak boleh siap sepertimana yang diramalkan maka cuti pertengahan semester ini dilanjutkan lagi kepada 2 minggu. Oleh itu, jumlah cuti pertengahan semester pada sesi ini menjadi 7 minggu. 

Ini bukanlah amalan biasa yang diamalkan di Kolej Universiti Insaniah mahupun IPTA dan IPTS yang lain. Selalunya cuti pertengahan semester ini hanyalah satu minggu ke dua minggu sahaja.Selalunya cuti pertengahan semester ini dilanjutkan atas sebab perayaan - perayaan tertentu yang diraikan di Malaysia. Apakah kesannya terhadap pelajar? Ini yang sangat membimbangkan bagi sebuah intitusi pengajian tinggi :


Pelajar - pelajar tempatan sudah tentunya balik ke kampung masing - masing, bagaimana pula nasib pelajar - pelajar antarabangsa. Pelajar-pelajar antarabangsa ini ada yang menginap di asrama dan ada yang menginap di rumah sewa. Walaubagaimanapun, kebanyakan pelajar antarabangsa ini menginap di asrama . Apa jadi kepada pelajar antarabangsa yang menginap di asrama. Memandangkan asrama di kampus Kuala Ketil masih belum siap....jadi dimanakah mereka. Ada maklumat mengatakan mereka masih menginap di asrama lama iaitu di Kampus Stargate. Adakah pihak kuin prihatin dengan keadaan ini. Kesan yang lagi serius adalah proses pembelajaran juga akan terganggu. Selama hampir 2 bulan pelajar - pelajar ini tiada kuliah. 

Ada pelajar yang mengeluh kerana keadaan ini bukan amalan yang biasa dibuat menyebabkan mereka seolah-olah hilang ‘mood’ untuk belajar. Pelajar-pelajar ini bimbang proses pembelajaran yang terhenti ini menyebabkan fokus mereka kepada pelajaran terganggu. Yang sangat menyedihkan kerana perlanjutan sesi akademik ini disebabkan asrama yang tidak siap, jadi kenapa Rektor, Datok Jamil Bin Osman mengarahkan perpindahan ini, adakah ada muslihat di sebalik perpindahan ini dan menyebabkan pelajar menjadi mangsa. Keadaan kampus di Kuala ketil yang menjadi kebanggan Menteri Besar Kedah ini juga , masih tidak mempunyai kemudahan asas, sebagai contoh..ada beberapa jabatan menggunakan telefon bimbit sendiri untuk berhubung, kafetaria juga tidak ada....bagaimana jika dipindahkan pelajar-pelajar ini nanti, adakah pelajar perlu keluar mencari makanan di pekan yang terdekat, bagaimana pelajar yang tidak mempunyai kenderaan. 

Kesimpulannya, Kampus Kuala Ketil ini masih belum sepatutnya diduduki dan menjalankan operasi. Perpindahan ini bukan untuk semua pelajar KUIN, antara kulliyyah yang dipindahkan adalah Kulliyyah Muamalat, Kulliyyah ini mempunyai bilangan pelajar lebih kurang 1500. Kulliyyah Muamalat pada asalnya adalah di Kampus Mergong, pada penghujung tahun 2011, diarahkan berpindah ke Kampus Stargate, (pada ketika itu juga Kampus Stargate belum dalam keadaan yang baik untuk beroperasi). Kemudian kononnya bagi menyempurnakan Kampus Stargate tersebut, pengubahsuaian telah dibuat oleh Insan Holdings berjumlah hampir RM1.7 juta, walaubagaimanapun pengubahsuaian yang dibuat tidak setimpal berbanding keadaan kampus tersebut. Kemudiannya pada penghujung tahun 2012, sekali lagi warga Kampus Stargate yang diarahkan berpindah ke Kampus Kuala Ketil, bukankah ini satu pembaziran. Menurut maklumat yang diperolehi, Kampus Stargate perlu dikosongkan kerana bayaran sewa yang tertunggak kepada pemilik bangunan.

Manakala pelajar-pelajar program pengajian Islam diarahkan berpindah pada bulan Jun, pada masa ini pelajar-pelajar program pengajian Islam masih beroperasi di Kampus Mergong. Pelajar-pelajar ini juga ‘dicutikan’ oleh Rektor KUIN selama 7 minggu untuk keseragaman. Kenapa perpindahan pelajar ini tidak dibuat sekaligus. Perpindahan tidak serentak ini menyebabkan beberapa jabatan yang berkaitan dengan pelajar perlu beroperasi di dua tempat berasingan iaitu Kampus Mergong dan kampus Kuala Ketil. Adakah ini praktis yang baik bagi sebuah Institusi Islam dan adakah ini kerja secara Islam yang selalu diwar-warkan oleh Menteri Besar dan Rektor KUIN.  

Ketika ini, pelajar ternanti-nanti adakah sesi akademik akan bermula 17hb Mac ini atau perlu ditangguhkan lagi? Adakah asrama ini memang akan siap atau hanya bayang bayang atau angan-angan sahaja. Isunya lagi, sekiranya siap, adakah pelajar-pelajar perlu “diisikan” dengan kadar yang segera di dalam asrama tersebut? Bagaimana pemeriksaan keselamatan, bagaimana kemudahan asas yang lain? Seperti yang dinyatakan di atas, kafetaria masih belum wujud, Adakah pihak Rektor prihatin, kemudahan asas pun belum lengkap lagi, dan bagaimana pula  kemudahan pembelajaran yang lain seperti perpustakaan, internet dan sebagainya.

 Perlanjutan cuti pertengahan semester ini akan menyebabkan cuti panjang pelajar yang selalunya berlaku pada awal bulan Mei setiap tahun, telah dipendekkan. Ini menganggu perancangan pelajar-pelajar sendiri, ada pelajar yang bercadang untuk mengikuti kursus –kursus jangka pendek, ada pelajar yang telah menempah tiket untuk ke Mekah mengerjakan ibadat Umrah dan lain-lain lagi. Perancangan yang tidak cekap oleh pihak tertinggin KUIN menyebabkan perancangan pelajar mahupun kaitangan terganggu. Asdakah ini satu keadilan? Diharap pihak yang berkaitan memandang serius perkara ini. KUIN adalah sebuah pusat pengajian tinggi Islam. Sebelum ini KUIN beroperasi dengan baik walaupun tidak setanding dengan IPTA-IPTA yang lain. MB Kedah serta pihak pentadbiran atasan KUIN perlu memikirkan isu ini dan menyelesaikan dengan kadar yang segera. Jangan membuat sesuatu hanya untuk mendapat nama, tetapi ramai yang akan menjadi mangsa. Sesuatu pekerjaan yang tiada keihklasan tidak akan diberkati.