Sumber :
Bernama
SUNGAI PETANI, 11 Mac — Tindakan kompaun berjumlah RM272,000 yang
dikenakan ke atas Kolej Universiti Insaniah (Kuin) merupakan satu lagi
petanda peneraju pentadbiran institusi itu harus melepaskan jawatan
mereka.
Pengerusi
Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata ini
kerana kebanyakan masalah yang meletakkan Kuin dalam krisis kewangan
kritikal sekarang berpunca daripada tindakan pihak pengurusan.
“Kuin perlu diselamatkan daripada ditimpa masalah akibat tindakan-tindakan yang dibuat oleh pihak pengurusannya.
“Pengerusi (Lembaga Pengarah) Kuin yang juga Menteri Besar (Datuk
Seri Azizan Abdul Razak) dan Rektor (Prof Datuk Dr Jamil Osman), perlu
bertanggungjawab dan saya rasa mereka perlu melepaskan jawatan atas
kerugian yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini semalam, sebagai
mengulas tindakan kompaun yang dikenakan Kementerian Pengajian Tinggi
terhadap Kuin atas kesalahan mengambil 34 pelajar di bawah syarat
kelayakan.
Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata kompaun yang mesti dijelaskan
Kuin sebelum 26 Mac itu akan memburukkan lagi masalah kewangan institusi
tersebut.
“Kita hairan bagaimana mereka boleh mengambil pelajar yang tidak
cukup syarat sedangkan mereka tahu ia dikawal oleh akta, perkara ini
bukan mainan,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa
ketika mengadakan lawatan mengejut ke kolej itu di Mergong, Alor Setar,
berkata tawaran kompaun berkenaan perlu dijelaskan sebelum 26 Mac ini
atau Kuin akan berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 40 (2)
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda RM50,000 bagi setiap pelajar atau penjara enam bulan.
Difahamkan, Kuin berjanji akan menjelaskan kompaun itu mengikut
tarikh ditetapkan selain diminta memberikan penjelasan bertulis
berhubung kebajikan warga kerja institusi berkenaan. — Bernama