October 15, 2012
KUALA
LUMPUR, 15 Okt — Kegagalan pelaksanaan beberapa projek utama oleh anak
syarikat dibawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) merupakan salah
satu punca kerajaan negeri mencatat kerugian, menurut Laporan Ketua
Audit Negara hari ini.
Dalam laporan tersebut, empat anak syarikat yang terdiri daripada
Kedah Corporation Berhad (KCB), Kedah Agro Industries & Marketing
Berhad (KAIMB), Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Kedah BioResources
Corporation Sdn. Bhd. (KBioCorp) telah dipilih untuk diaudit Jabatan
Audit Negara.
Antara projek yang didapati oleh pihak audit yang merugikan ialah
antaranya projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea dan
projek 99 East di Langkawi.
Akibatnya, prestasi kewangan KCB bagi tahun 2008 hingga tahun 2010
secara keseluruhannya adalah lemah kerana mencatatkan kerugian sebelum
cukai bagi 3 tahun berturut-turut.
KCB mengalami kerugian berjumlah RM1.51 juta pada tahun 2008 dan
kemudiannya terus mencatatkan penyusutan kerugian pada tahun 2009 dan
2010 105 masing-masing berjumlah RM0.97 juta dan RM0.31 juta dan
seterusnya menyebabkan kerugian terkumpul KCB meningkat kepada RM2.85
juta pada tahun 2010.
Selain itu, prestasi anak syarikat KAIMB hampir sama dengan KCB
apabila projek ternakan udang di Kerpan dan projek tanaman getah dan
kelapa sawit yang dijalankan terdapat kelemahan dari segi pelaksanaan
perjanjian dan pemantauan.
KAIMB juga didapati oleh pihak audit tidak membuat pembayaran dividen
kepada syarikat induk dan tidak mempunyai Jawatankuasa Audit Dalam
seperti yang ditetapkan oleh Pekeliling Perbendaharaan.
KAIMB hanya memperolehi keuntungan pada tahun 2008 dan kemudiannya
mengalami kerugian pada 2 tahun berikutnya. Keuntungan terkumpul KAIMB
juga telah menyusut daripada RM2 juta pada tahun 2008 kepada RM1.67 juta
pada tahun 2010.
Dua lagi anak syarikat dibawah PMBKed iaitu PKB atau KBioCorp pula
mencatatkan prestasi sekadar memuaskan walaupun kedua-duanya mencatatkan
keuntungan pada 2010 lalu.
Menurut laporan audit, PKB mengalami kerugian pada tahun 2008
sejumlah RM0.55 juta walaubagaimanapun pada tahun 2009 dan 2010 PKB
telah mendapat keuntungan masing-masing berjumlah RM0.71 juta dan RM0.70
juta.
Manakala, KBioCorp berjaya mengatasi kerugian yang dialami pada tahun
2008 dan 2009 dengan mencatatkan keuntungan pada tahun 2010 berjumlah
RM0.14 juta. Kerugian pada tahun 2008 dan 2009 adalah masing-masing
berjumlah RM0.19 juta dan RM0.11 juta.
Secara keseluruhannya, pihak audit memberi penekanan ke atas dua anak
syarikat PMBKed ekora kerugian yang dicatatkan iaitu KCB dan KAIMB
memberikan syor supaya kajian yang terperinci dijalankan sebelum
terlibat dalam pelaburan yang berisiko tinggi dan berskala besar untuk
mengelak kerugian pada masa depan.
Manakala bagi PKB dan KBioCorp, walaupun prestasi kewangan adalah
memuaskan pihak audit telah mencadangkan kedua-duanya masih perlu
meningkatkan keuntungan supaya mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dalam mengimbangi liabiliti semasanya.