JERAI 8 Mac - Tekanan dari pelbagai sudut termasuk diberi surat
tunjuk sebab tidak melunturkan semangat kakitangan Kolej Universiti
Insaniah (Kuin) untuk meneruskan perjuangan bagi mendapatkan semula hak
dan kebajikan mereka dengan menganjurkan forum penerangan isu kolej
universiti berkenaan buat kali kedua malam tadi.
Forum Pentas Bersih Kuin 2.0 di Sekolah Menengah Agama (SMA)
Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat di sini mendapat sambutan
apabila dihadiri lebih 300 orang awam, kakitangan Kuin dan warga sekolah
berkenaan.
Forum selama lebih dua jam bermula pukul 9.30 malam itu menampilkan
dua panel yang memberikan penjelasan berhubung isu melibatkan institusi
pengajian tinggi di bawah Kerajaan Pas Kedah dengan menyertakan fakta
dan bukti.
Mereka ialah Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Usuluddin, Mohd. Baihaqi
Hassan dan Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Syariah Kuin, Muhammad Azki
Hafizi Ibrahim yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan kolej
universiti berkenaan manakala Penolong Pegawai Tadbir Kanan Kuin, Asri
Abdul selaku moderator.
Muhammad Azki berkata, penjelasan yang mereka berikan itu bagi
membolehkan masyarakat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sungai Limau yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
sebagai wakil rakyat mendapat maklumat yang betul dan benar berhubung
isu yang melanda Kuin.
Katanya, tindakan menuntut hak daripada pengurusan tertinggi Kuin
tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi atau kaitan dengan mana-mana
parti politik.
''Sangkal penjelasan kami dengan hujah dan fakta, bukan menuduh kami
agen UMNO atau meminta keluar dari Kuin. Saman saya kalau fakta saya
salah,'' katanya.
Dalam Pentas Bersih Kuin yang pertama di Jalan Suka Menanti di Alor
Setar pada 28 Februari lalu, mereka mengemukakan tujuh tuntutan termasuk
mahu Pengerusi Kuin, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Rektor, Prof.
Datuk Dr. Jamil Osman dipecat.
Tuntutan lain ialah Insaniah Holding dan anak syarikat lain ditutup,
menerima pakai pekeliling perkhidmatan awam dengan membayar tunggakan
kenaikan gaji 13 peratus kepada kakitangan dan memberhentikan kakitangan
akademik luar negara yang bermasalah.
Tiga lagi tuntutan ialah Kuin perlu membayar tunggakan pinjaman
kakitangan ke bank dan pihak ketiga, menutup program yang tiada pelajar
dan mengembalikan pentadbiran kuliah ditadbir Insaniah Holding kepada
Kuin.
Sehingga kini, seramai 10 kakitangan Kuin menerima surat tunjuk sebab
daripada pengurusan kolej berkenaan susulan desakan dibuat mereka
berhubung isu di institusi pengajian terbabit bagi memperjuangkan hak
dan kebajikan mereka. - UTUSAN