Warkah email : Insan Tulis
Assalamualaikum
Saudara
blogger...Cadangnya saya malas nak menulis isu KUIN terutamanya
di bulan puasa ni. Saya tak mahu menulis kerana dalam keadaan marah, apa saja
ayat-ayat yang tidak berkenaan timbul
dan boleh mengurangkan pahala puasa saya. Tetapi setelah banyak pihak yang menyerang
KUIN terutamanya Ustaz Azki, saya terpaksa memberatkan tangan menaip apa yang
patut dalam mempertahankan KUIN dan warganya. Terlalu banyak ayat-ayat yang ditulis
dalam blog adalah fitnah semata-mata dan bertujuan untuk menyerang pentadbiran
baru Kerajaan Negeri Kedah. Sangkaan saya, semua fitnah ini akan berhenti
sejurus selepas bermulanya puasa Ramadhan dan bulan-bulan seterusnya, namun
semakin kita menghampiri kemuncak Ramadhan yang mulia, lagi banyak fitnah yang
ditaburkan terutamanya kepada Ustaz Azki dan seluruh Gerakan Bersih KUIN. Nampaknya
di bulan yang mulia ini tidak memberi apa-apa makna kepada mereka yang suka
manabur fitnah kepada KUIN. Puasa hanya membolehkan lapar, dahaga dan dosa
sahaja. Saya akan menerangkan satu persatu isu yang telah di fitnahkan kepada
KUIN.
1. Isu Kampus Kuala Ketil (KKK)
Selain dari itu, dalam pembinaan KKK ini, kerajaan negeri terdahulu telah
berhutang bank. Anggaran kos yang diperlukan untuk membayar hutang tersebut
adalah sebanyak RM48 juta setahun selama 15 tahun. Ini belum termasuk belanja
mengurus sebanyak RM20 setahun dan penyelenggaraan kampus sebanyak hampir RM4
juta setahun (api, air, potong rumput, syiling jatuh ka, aircond tersumbat ka,upah
jaga kolam ayaq dan sebagainya). Jika dijumlahkan kesemuanya hampir RM72 juta
dalam setahun dan dijumlahkan selama 15 tahun??? Hampir satu billion
diperlukan!!! Tidakkah ini akan membebankan kerajaan negeri sedia ada. Berapa
banyak rakyat yang boleh dibantu dengan jumlah yang sebesar ini? Percayalah
sekiranya semua pelajar KUIN di Mergong berpindah ke KKK, yuran pelajar pasti
akan dinaikkan sebanyak 300% kerana untuk membiayai sebuah kampus yang besar
ini, jumlah dana yang sangat banyak diperlukan. Sememangnya KUIN memerlukan
sebuah kampus yang selesa tetapi belum masanya ianya memiliki kampus sebesar
ini. Para pelajar yang tidak berpuas hati dengan tidakkan kerajaan baru ini
akan meninggalkan KUIN setelah tamat pengajian nanti. Tetapi bagaimana pula para
pelajar baru selepas ini? Sudah tentulah mereka akan terbeban dengan hutang
pelajaran yang berlipat kali ganda. Fikirlah dulu sebelum membuat tindakan
kerana bukan sahaja anda yang rugi, malah adik-adik anda yang bakal
mendaftarkan diri ke KUIN juga akan rasa bahangnya. Jangan terlalu emosi ketika
membicarakan isu KKK ini sehinggakan mengabaikan pelajaran anda. Kampus Mergong
pun kita tidak mampu berdikari, bagaimana pula untuk mengurus sebuah kampus
besar seperti di KKK. Tindakan kerajaan negeri pada hari ini sangatlah tepat
demi untuk mengurangkan kos operasi KUIN.
2. Pemecatan Dato’ Latifah sebagai Pendaftar KUIN
Zulya dalam blognya baru-baru ini mempertikaikan
pemecatan Dato’ Hajah Latifah Hassan secara serta merta dan dianggap zalim.
Tetapi persoalannya, mengapa pada ketika En. Najib (Pendaftar sebelum ini)
ditamatkan perkhidmatan ketika Jamil berkuasa, Zulya tidak mengulas isu ini dan
menyatakan kerajaan terdahulu bertindak zalim kepada kakitangan KUIN. Mengapa
pada hari ini berkokok seolah-olah ayam jantan kehilangan ayam betina dengan menyatakan kerajaan sedia
ada zalim dan menyingkirkan mana-mana individu yang mereka anggap tidak
sehaluan dalam pentadbiran? Yang peliknya, En. Najib pada ketika itu berumur 58
tahun manakala Dato’ Hajah Latifah
berumur dalam lingkungan 60-an. Mengapa En. Najib diberhentikan dengan
alasan sudah mencapai tahap umur pencen. Bagaimana pula dengan umur Dato’ Hajah
Latifah??? Pelik bukan?? Tambahan pula En . Najib telah berkhidmat di KUIN
melebihi 15 tahun dan mengetahui isu KUIN dari segenap sudut. Manakala Dato’
Hajah Latifah masih terkial-kial dalam memberi setiap respon berkenaan isu
KUIN. Adilkah kenyataan yang dibuat oleh Zulya kepada kerajaan negeri hari ini yang dianggap zalim? Alangkah indahnya Zulya
ketika menjadi Ketua Penerangan suatu
ketika dulu mengulas isu KUIN ini dengan jelas dan terang tanpa ada apa-apa
agenda.
3. Gaji Insaniah Holding Sdn. Bhd. (IHSB)
Terdapat banyak pihak menyatakan kerajaan negeri
pada hari ini tidak membayar gaji pekerja IHSB. Persoalan diatas, atas dasar
apakah gaji mereka ini perlu dibayar oleh kerajaan yang sedia ada. Sebelum
berhujah berkenaan isu ini, IHSB perlulah membentangkan penyata kewangan mereka
selama 4 tahun beroperasi. Apa yang telah dibuat? Setakat mana kejayaan yang
telah mereka capai. Berapakah keuntungan dan kerugian yang telah dicatatkan?
Tunjukkan dahulu siapa ahli lembaga pengarah IHSB. Selepas semua ini selesai,
barulah boleh menyatakan bahawa KUIN tidak membayar gaji anda. Ini kerana gaji
yang dibayar kepada IHSB adalah wang rakyat yang perlu dijaga dengan telus dan
tulus. Tahukah pembaca sekalian, seramai 26 orang pekerja bawahan IHSB telah
diserap masuk ke KUIN dengan gred jawatan N1/R1 dan sebagainya. Tahukah anda
bahawa seluruh kakitangan Kulliyyah Hospitaliti dan Perkhidmatan Halal termasuk
dapur, kuali, senduk, tong gas, tong sampah yang dahulunya di bawah IHSB
diserap ke KUIN? Tahukah anda seramai 10 orang pensyarah Kulliyyah Multimedia diserap masuk ke KUIN
dengan melalui proses temuduga yang betul dan telus tanpa menggunakan kroni ? Mengapa tidak didedahkan
semua ini? Adakah kerajaan hari ini bertindak zalim??? Jangan salahkan kerajaan
yang ada hari ini, tetapi salahkan kerajaan yang meluluskan penubuhan IHSB
tanpa perancangan yang betul dan rapi. Ini bukan soal balas dendam politik
seperti diwar-warkan banyak pihak.
4. Status Badan Berkanun KUIN
Bekas Exco Kerajaan Negeri Dato' Ir. Phahrolrazi
Zawawi baru-baru ini dalam laporan akhbar Sinar Harian menyifatkan langkah KUIN
menjadi badan berkanun sebagai mundur ke belakang dan boleh menjejaskan
perkembangan universiti berkenaan. Beliau turut menjelaskan bahawa ”taraf KUIN
yang berstatus syarikat milik kerajaan berpotensi untuk dinaik taraf kepada
status korporat, bukannya kembali bernaung di bawah kerajaan negeri. Apabila
sesebuah institusi menjadi badan berkanun, ianya tertakluk pada peraturan
kerajaan termasuk wujudkan jawatan, pengambilan pensyarah dan kakitangan. Perkembangan
KUIN akan terbatas dan sebarang keputusan terhad kerana perlu dirujuk kepada
lembaga pengarah dan kerajaan negeri. Selain itu ia akan terikat dengan
apa saja prosedur dan birokrasi kerajaan negeri.” Ya benar pendapat beliau itu.
Tetapi beliau kena ingat, tanpa tertakluk kepada peraturan kerajaanlah, KUIN
semasa pemerintahan kerajaan terdahulu haru biru, kucar kacir dan tunggang
langgang. Pengambilan kroni yang
berleluasa, pemberian gaji sehingga RM35 ribu sebulan tanpa prosedur yang betul, penambahan kursus
yang tiada langsung pelajar dan sebagainya. Keadaan ini berlaku kerana
keputusan yang dibuat tidak mengikut peraturan kerajaan negeri sehinggakan KUIN
menjadi nyawa-nyawa ikan. Sekiranya menjadi syarikat korporat, sudah tentulah
yuran boleh dinaikkan. Bagaimana pula dengan pelajar nanti yang terpaksa
menanggung jumlah yuran yang begitu tinggi. Tidakkah status badan berkanun ini
akan menyebabkan kakitangan KUIN terbela pada masa hadapan? Fikirlah sebelum
membuat kenyataan seolah-oleh KUIN hebat pada zaman pemerintahan anda.
5. Pengambilan pelajar bulan Julai 2013 sebanyak 500
++
Adilkah kerajaan negeri yang baru memegang tampuk
pemerintahan selama 2 bulan dipersalahkan kerana kemasukan pelajar yang
merosot? Trend penurunan jumlah pelajar ke KUIN telah berlaku sebelum ini lagi. Cuba lihat
contoh yang diberikan oleh blog merah (Julai intake 2010 - Bilangan pelajar
mendaftarkan diri 1900,Julai intake 2011 - Bilangan pelajar mendaftarkan diri
1600, Julai intake 2012 - Bilangan pelajar mendaftarkan diri 900, Julai
Intake 2013-Bilangan pelajar yang mendaftar diri 500 ). Tidak adil rasanya menyalahkan
kerajaan yang ada pada hari ini. Berikan masa kepada PRO baru iaitu Ustaz Azki
kerana pada zaman beliau menjadi PRO (sebelum 2009), KUIN terpaksa menolak
permohonan pelajar kerana terlalu ramai ingin ke Universiti ini. Saya tidak
mahu menyebut nama PRO sebelum ini yang gagal dalam mempromosikan KUIN ke luar.
Biarlah pentadbiran baru merencanakan promosi yang akan dibuat.
6. Penutupan Kulliyyah di KUIN
Untuk pengetahuan pembaca, ini merupakan satu
pembohongan yang ketara. Fitnah yang tidak akan dimaafkan oleh seluruh warga
KUIN. Sesiapa yang menabur fitnah ini, pasti akan mencari seluruh warga KUIN di
Padang Masyhar nanti. Takutlah anda semua kepada Allah dengan perkara ini.
Sebenar-benarnya sehingga kini, tidak berlaku langsung penutupan Kulliyyah
seperti yang difitnahkan sebelum ini. Yang ada hanyalah penggabungan Kulliyyah di bawah satu bumbung. Diantara kulliyyah yang
digabungkan menjadi satu ialah Kulliyyah KTSM, Kejuruteraan dan Multimedia.
Ketiga-tiga kulliyyah ini telah bersatu untuk mengurangkan kos operasi KUIN. Janganlah
kita mengurangkan pahala apabila membuat fitnah di bulan yang mulia ini.
Adalah diharapkan dengan penjelasan ini akan
menjernihkan keadaan KUIN yang tidak putus-putus difitnah. Gerakan Bersih KUIN
(GBK) akan terus menegur kepimpinan baru sekiranya berlaku ketidakadilan
terhadap warganya. Berilah masa kepada kepimpinan baru dalam merencakan KUIN
sebagai sebuah universiti tersohor bukan sahaja di Malaysia tetapi di dunia
secara amnya. Seperti kata dari Ustaz Azki, GBK tidak pernah dibubarkan.Sekian,
terima kasih.
-Apabila Insan Tulis Menulis-
*Sekiranya keadaan selepas ini tidak berubah, saya
akan menulis pula berkenaan KHI dan pekeliling yang tidak digunapakai di dalam
KUIN.
-IT-