Petikan daripada blog tersebut mengenai beberapa individu dalam KUIN : Azlina, Ubaidullah, Ridhaudin |
ARTIKEL INI DIPETIK DARI KEDAHLANI.INFO
Isu KUIN adalah satu isu yang dimainkan selepas kejatuhan kerajaan
pimpinan Ustaz Azizan di Negeri Kedah Darul Aman. Ini kerana, projek ini
dilihat sebagai symbol 5 tahun pemerintahan PAS di Kedah selepas ianya
diserahkan kepada BN untuk kembali memerintah.
Pada awalnya saya enggan memberi komen tentang isu di KUIN ini kerana
saya bukanlah sebahagian daripada warga KUIN. KUIN tidak ada kaitan
dengan saya melainkan, ianya adalah projek parti yang disokong oleh saya
iaitu PAS. Sebagai ahli PAS pada mulanya saya berasa gembira apabila
Negeri Kedah jatuh ke tangan PAS di dalam PRU 12. Suatu penantian yang
cukup panjang, akhirnya parti islam mula memacakkan panjinya di Kedah.
Terasa maniskan perjuangan yang dilalui hasil daripada tarbiah yang
diperolehi dalam tamrin-tamrin akhirnya PAS yang saya dokongi ini
mengambil tampuk pemerintahan di negeri Kedah ini.
Setiap kali menghadiri ceramah bersama Ustaz Azizan, kami berasa seronok
apabila dia menceritakan dia adalah hero berbanding dengan menteri
besar-menteri besar Kedah sebelum ini. Dengan bangganya dia mengatakan
menteri besar lain tidak hero kerana mereka menteri besar warisan,
tetapi dia adalah hero kerana dia dapat menjatuhkan lawan bukannya
mewarisi kepimpinan. Sebagai ahli, kami mendengar kisah ini dengan
begitu seronok dan tersenyum kerana mempunyai pemimpin yang bijak
seperti beliau. Walaupun akhirnya beliau juga dijatuhkan oleh lawan
akibat keegoan beliau sepanjang menjadi MB.
Tidak dinafikan projek membina KUIN di Kuala Ketil adalah suatu yang
baik dan wajar dilakukan. Tetapi bagi saya, secara realitinya projek ini
boleh dianggap sebagai projek “Air Mata Rakyat” kerana ianya dibuat
dalam keadaan menindas dan tidak mengambil kira soal kebajikan
kakitangan di KUIN. Walaupun tujuannya baik untuk melihat sebuah kampus
tersergam indah, tidak seharusnya kerajaan PAS menafikan hak dan
kebajikan kakitangan yang berada di dalam KUIN. Di tengah-tengah
kemelut masalah gaji ini berlaku, yang lebih menyedihkan apabila Ustaz
Azizan selaku pengerusi KUIN menaikkan elaun mesyuarat beliau kepada
RM2000. Amat malu bagi saya sebagai seorang ahli PAS apabila MB yang
dilantik berkelakuan sedemikian rupa.
Berlainan dengan kerajaan PR di Pulau Pinang dan Selangor yang lebih
mengutamakan kebajikkan rakyat di dalam pemerintahan mereka seiring
dengan matlamat politik mereka. Tetapi di Kedah sebuah kerajaan yang
memakai “baju” Islam dilihat MBnya lebih mengutamakan matlamat
peribadinya berbanding dengan kebajikan terutamanya kepada kakitangan
KUIN. Kesannya boleh dilihat bagaimana lebih daripada 90% orang PAS di
dalam KUIN yang memangkah BN dan ada yang tidak keluar mengundi kerana
marahkan Ustaz Azizan.
Bahkan lebih teruk daripada itu, dikawasan yang dihantar calon bebas dan
berkempen untuk menjatuhkan ustaz azizan semata-mata kerana keegoan
beliau. Bahkah seorang ulama yang tersohor di Kedah yang juga orang kuat
PAS sanggup mengeluarkan “fatwa” dikalangan ahli pas Kedah supaya WAJIB
JATUHKAN KERAJAAN AZIZAN. Walaupun dinyatakan hasrat membina KUIN
adalah untuk ummat, tetapi ianya tidak lebih daripada untuk memuaskan
hati beliau sebagai seorang MB. Sebab itulah pernah terpacul dari
mulutnya, “Aku buat KUIN saja, hutang KUIN biaq MB lepas aku pikiaq”.
Ternyata kenyataan yang dibuat oleh Ustaz Azizan terlalu tidak
bertanggungjawab dan menampakkan keegoan beliau. Apabila ditegur oleh
para ulama, dilabelnya ulama hanya sebagai cenonot ayam di dalam PAS
yang membuatkan beberapa orang ulama berundur daripada mempertahankan
parti. Bahkan ada dikalangan mereka yang melakukan solat hajat dan
munajat supaya kerajaan Azizan Razak dijatuhkan. Andai ulama di dalam
PAS pun menentang, inikan pula orang biasa.
Saya berasa amat malu apabila mendengar taklimat daripada Ustazah
Azlina, Puan Kartini dana Firdaus Pemuda Pas Pokok Sena kepada petugas
parti di Batu 9 berkenaan isu KUIN. Apabila ustazah Azlina menyebut,
“Kita bangga tuan-tuan, KUIN satu-satunya universiti swasta di dunia
yang ada medic”. Ketika itu terlintas difikirannya saya, sungguh
pembohong ustazah ini kerana di universiti lain pun ada medic. Saya
terus bangun dan balik bersama-sama rakan kerana meluat mendengar
celoteh yang tidak berisi itu. Sudahlah kami datang dari jauh, tiba-tiba
mendengar cerita dongeng yang direka untuk mempertahankan Ustaz Azizan.
Bagi saya kalau nak membodek biar berpada. Sejak dari itu membuka mata
saya untuk melihat masalah KUIN dengan lebih dekat dan adil.
Sehingga kini barulah saya tahu kenapa Ustazah Azlina beria-ia
mempertahankan Jamil dan Ust Azizan bersama-sama dengan adik iparnya dan
seorang aktivis parti lagi. Dia mendapat ghanimah dengan diberi
biasiswa menyambung PHD di USM dan terikat kontrak dengan KUIN selama 6
tahun. Manakala adik iparnya Ubaidillah Bin Abdullah pula diberi
pelepasan oleh Jamil untuk membuat chambering di Kuala Lumpur dengan
bergaji penuh, tetapi alasan yang diberikan adalah beliau pergi
menyambung PHD. Ketiganya Ridhauddin seorang aktivis PAS, yang masuk ke
KUIN atas tiket politik daripada KIDU bagi mempertahankan KUIN ketika
diasak oleh kakitangan. Kini mereka bertiga giat merancang gerakan
bersama dengan beberapa orang pelajar untuk mempertahankan tindakan
kerajaaan PAS dan menunding jari atas kelemahan ini untuk diletakkan di
bahu kerajaan baru.
Sejarah tidak melupakan, disaat-saat pakatan rakyat bercakap tentang
kebebasan, kerajaan PAS Kedah dikejutkan dengan penggantungan pelajar di
KUIN. Walaupun MB mengatakan ia bukan tindakkannya tetapi disebalik
tabir dialah yang menjadi pengerusi di KUIN. Rakan komponen pakatan
rakyat dari seluruh negara hanya mampu melihat perkara ini tanpa
bersuara. Malah terkeluar dari mulut MB dengan penuh bongkak bahawa
“Buku jingga bukan Al-Quran”.
Di dalam isu ini, kita usahlah terlalu meroyan-royan apabila Mukhriz
bertindak menyelesaikan masalah KUIN yang dibuat dizaman PAS.
Bertindaklah secara matang. Tindakan Mukhriz memberikan kembali hak
kenaikkan gaji kepada kakitangan KUIN usahlah dicemuh dan dicaci kerana
sememangnya mereka berhak mendapat hak mereka. Sekiranya kita mencaci
mereka, lupakah kita 5 tahun akan datang merekalah yang akan mengundi
kita.
Termasuk juga kepada Ustazah Azlina yang menggelar kakitangan KUIN yang
kenyang dengan kenaikkan gaji dan bonus. Penghinaan ini amat memalukan
memandangkan Ustazah Azlina dan adik iparnya juga mendapat imbuhan yang
sama.
Pekerja di sektor awam atau badan berkanun tidak boleh disamakan dengan
pekerja di dalam parti. Mungkin kita akan bandingkan dengan gaji petugas
parti yang rata-rata dibayar dalam lingkungan RM 500- RM1000 sebulan
dan ada juga guru PASTI yang dibayar RM200 – RM400 sebulan. Kepada
petugas parti bolehlah kita membayar dengan gaji sedemikian atas dasar
walak dan pengorbanan kepada parti. Bahkan kerja-kerja kita di dalam
parti pun lillahi taala. Tidak pernah menuntut duit walau sesen.
Tetapi amat sedih apabila memerintah pemimpin memenuhkan kantung mereka
dengan gaji yang mahal, mendapat AP untuk membeli kereta dengan harga
yang murah, menerima elaun mesyuarat dan yang terkini masing-masing
menerima duit ganjaran (gratuity) samaada sebagai MB, Exco, Ahli
Parlimen, Pegawai Khas dan lain-lain. Ada yang mendapat ganjaran
sehingga mencecah 100,000 ribu lebih. Hal sebegini langsung tidak pernah
diceritakan kepada petugas parti yang digula-gulakan dengan kerja
ikhlas kerana Allah.
Tetapi untuk orang luar daripada parti, pendekatan ikhlas dan
pengorbanan sedemikian tidak boleh digunakan. Sewajarnya, semasa
memerintah sekurang-kurangnya pimpinan PAS perlu mengurus manusia yang
lebih menyeluruh supaya setiap tindakan yang dibuat tidak menimbulkan
kemarahan orang awam.
Pembodek sudah tentu akan mempertahankan kita, tetapi bagi yang kritis
mereka akan bersuara walaupun dilihat sebagai pemecah belah dalam
jemaah. Walaupun kita termasuk saya membenci BN, tetapi sekiranya mereka
dapat menyelesaikan masalah KUIN kita sebagai gerakan islam seharusnya
bermuhasabah. Allah telah memberikan kepada kita peluang 5 tahun
memerintah. Namun begitu, sepanjang banyak peristiwa hitam yang berlaku
kepada PAS Kedah.
Ahli Parti Seumur Hidup