Pages

Tuesday 25 August 2015

SURAT TERBUKA UNTUK YANG BERBHG. DATUK REKTOR



SURAT TERBUKA UNTUK YANG BERBHG. DATUK REKTOR
KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH
KAMPUS KUALA KETIL

Assalamualaikum dan salam sejahtera
Sememangnya kedatangan surat terbuka buat tatapan Datuk ini tidak diundang tetapi saya rasa terpanggil untuk berbuat demikian memandangkan pengurusan Kolej Universiti Insaniah di bawah naungan Datuk sedang menuju kehancuran.

Ingin saya membawa Datuk untuk mengimbau kenangan pahit kakitangan dan pelajar sejurus selepas kedatangan Datuk ke KUIN. Kedatangan Datuk ke KUIN dihadapi mereka dengan perasaan bercampur-baur – antara suka dan duka.  (1) Suka kerana mereka sudah terlepas daripada cengkaman Dato’ Wira Jamil Osman [JAZAN] yang selama lebih 5 tahun berada di KUIN telah menggunakan pentadbiran kuku besi ala Hitler dan mengambil kesempatan penuh untuk menghancurkan satu pusat pengajian Islam yang dibina atas dasar untuk menghidupkan ilmu berasaskan Islam di rantau ini. Kehancuran yang dibawa oleh beliau itu ialah apabila lebih 45 program pengajian dibawa masuk tanpa satupun tinjauan pasaran dibuat untuk melihat kebolehpasaran program-program yang baru diperkenalkan. Akibatnya, lebih banyak kerugian yang terpaksa dihadapi daripada keuntungan yang diharap-harapkan. Akhirnya, bermulalah episod kehancuran yang memberi kesan perit kepada kakitangan apabila gaji lambat dibayar dan pembayaran kepada pihak ketiga tidak dibuat. Kakitangan menghadapi kepayahan disaman bank dan institusi kewangan. Jadi, apabila turunnya Dato’ Wira [JAZAN] pada ketika itu dan bangkitnya parti Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, kakitangan merasakan kebahagiaan sebentar cuma.  

(2) Duka kerana mereka mengharapkan sarjana Pengajian Islam yang datang untuk memimpin mereka ke arah kecemerlangan. Sebaliknya, yang datang ialah seorang yang hanya mempunyai ijazah Sarjana tiada PhD dan di dalam bidang Ekonomi pula. Keresahan timbul pula apabila mereka mendapat tahu yang pemimpin yang mereka harap-harapkan ini menuntut gaji yang terlalu mahal – RM40 ribu sebulan. Ini bukan satu amaun yang sedikit, Datuk. Ditinjau gaji-gaji Naib-naib Canselor IPTS atau CEO IPTS pun tidak sampai jumlah sebegini lumayan. Apakah hebatnya Datuk ini jika dibandingkan dengan Profesor Jomo Sundaram, pakar ekonomi Universiti Malaya, atau Profesor Emeritus Mohamed Ariff, MIER, misalnya? Sebenarnya, Datuk ini ibarat “orang masuk bakul, angkat sendiri”. Anugerah CMO Asia yang Datuk perolehi itu pun bukanlah  satu anugerah berprestij seperti yang diuar-uarkan. Lihat sahajalah para para juri dan panel yang berada di dalam lembaga CMO Asia tersebut? Boleh dilihat hampir semua juri orang negara INDIA. Apa hebatnya? Tak hebat pun! Calon calon yang bersaing pun dalam kategori anugerah itu boleh dipertikaikan. Menang tanpa bertanding kah Datuk? Bayar yuran keahlian mahal, penganjur kena ciptalah anugerah kan? Kakitangan tidak sedikit pun merasa hairan dengan anugerah tersebut kerana kebahagiaan mereka telah dirobek oleh dasar kepimpinan Datuk yang haru biru ini.

Yang Berbhg. Datuk

Sebenarnya terlalu banyak persoalan yang sedang bermain di dalam kotak pemikiran semua kakitangan KUIN. Pelbagai janji yang masih ditagih. Berikut kakitangan senaraikan apa yang perlu dijawab oleh pihak KUIN (khususnya Datuk sendiri) yang selalu ditanya oleh kakitangan. Di antaranya adalah :
1.    Mengapa sudah berpuluh-puluh MOU telah ditandatangai oleh pihak KUIN bersama pihak luar, tetapi apa yang berlaku sehingga kini? Apa sudah jadi dengan perjanjian persefahaman Universiti Alexandria, Mesir? Apa sudah jadi dengan Yayasan Pondok Malaysia? Apa sudah jadi dengan Council of Islamic Chinese Relations? Apa sudah jadi dengan IAIN Samarinda Indonesia? Apa sudah jadi Datuk? Kenapa tiada khabar berita? Apa strategi Datuk dengan berpuluh-puluh MOU yang sudah Datuk tandatangani itu? Jangan hanya mempamerkan MOU tersebut di almari kaca Datuk sahaja.

2.    Bagaimana perkembangan Sekolah Bestari? Khabarnya sekolah tersebut telah dijual. Di manakah wangnya, Datuk? Berapa harga jualannya? (Kakitangan pun ingin tahu juga). Mengapa satu ketika dahulu Datuk beriya-iya benar untuk meneruskan sekolah itu walaupun diketahui ramai tidak produktif, umpama “memikul biawak hidup”. Kenapa Datuk?

3.    Bagaimana dengan program Kejuruteraan dan Multimedia Kreatif yang menelan belanja ratusan ribu ringgit? Kalau mahu hentikan program-program tersebut mengapa pula dilantik Dekan yang baru dan  tidak pula diambil di kalangan staf akademik sedia ada? Mengapa, Datuk?

4.    Di awal kedatangan Datuk, masihkah Datuk ingat apabila Datuk dan team Datuk mensasarkan KUIN menjadi Universiti penuh pada tahun 2015 tetapi sekarang  telah dianjak kepada 2016. Tak malukan Datuk ubah-ubah? Itu tanda tiada yakin dalam kepimpinan. Tidakkah cukup pakar-pakar yang ada di KUIN untuk merealisasikan hasrat ini? Mana pakar Ekonomi? Mana pakar Maqasid Syariah? Mana pakar Perbankan Islam? Mana pakar Pendidikan? Mana Pakar Kaunseling? Mana pakar Pengajian Islam? Di manakah mereka yang boleh mendokong hasrat Datuk ini? Adakah mereka masih tetap di belakang Datuk? Mengapa kakitangan lihat yang lahir adalah pakar cabutan minit dan pakar putar belit pengurusan HEA?

5.    Penyampaian akademik di KUIN masih di takuk lama. Pendaftaran subjek masih lagi tunggang langgang, jadual waktu masih lagi bertindih. Mana mungkin hasrat Datuk ini tercapai jika perkara asas ini masih terkial-kial untuk diselesaikan. Mana mungkin, tak begitu, Datuk? Atau memang Datuk yang pencetus penggemar budaya begini di ipt ipt tempat Datuk bekerja sebelum ini?


6.    Sasaran pelajar asalnya sebanyak 9000++ jika pindah ke Kampus Kuala Ketil, apakah sasaran ini telah dicapai? Ataupun sasaran ini perlu ditangguhkan lagi dan lagi? Sasaran di atas kertas adalah sangat mudah untuk dilakukan, tetapi realitinya cukap sukar untuk dilaksanakan. Dan Timbalan Datuk selalu pula merungut sasaran pihak kewangan sebanyak 2800 pelajar terlalu tinggi. Apa sudah jadi dengan jumlah pelajar 9000++ yang Datuk sasarkan di awal kedatangan dahulu? Mengapa tidak kesampaian, Datuk?

7.    Kemasukan pelajar dicanang seolah-oleh mencapai sasaran tetapi kenapa pula tidak Datuk dedahkan % pelajar yang berhenti? Dengar kata ramai yang keluar. Mengapa, Datuk?

8.    Isu penyelenggaraan seperti rumput, tandas, lif dan sebagainya tampaknya masih haru biru dan kelam kabut. Kemunculan ular tedung di halaman kampus Datuk bakal menimbulkan kegusaran para waris. Jika mereka dikhabarkan pula dengan angin yang mengatakan ada kakitangan dipagut ular, bayangkanlah apa persepsi masyarakat terhadap pengurusan Datuk. Janganlah Datuk letakkan tanggungjawab itu kepada pihak Pembangunan atau mana mana pihak sekali pun. Dengan gaji yang lumayan itu, Datuklah yang bertanggungjawab penuh ke atas semua permasalahan ini. Bukankah begitu, Datuk?

9.    Perpindahan kakitangan dari Alor Star ke Kuala Ketil meruntun emosi lebih separuh kakitangan Datuk. Ada yang terpaksa berulang-alek dengan gaji yang entah seberapa, bukan macam gaji Datuk RM40k. Ramai pula yang merungut terpaksa menaiki kenderaan awam dan bangun seawal 4 pagi untuk bersiap ke pejabat di Kuala Ketil. Ada pula yang mengadu sakit belakang dan demam deman dek kerana terpaksa berulang-alik saban hari. Kontrak penyambungan bas dari Alor Star ke Kuala Ketil juga masih samar-samar. Kasihanilah kakitangan Datuk yang mengharapkan sesuap nasi berhempas pula dalam dingin pagi untuk datang ke kampus hutan belantara Datuk ini. Seperkara lagi, Datuk pernah menjanjikan perumahan kakitangan kepada kakitangan. Tetapi janji tetap hanya tinggal janji. Di manakah perumahan kakitangan tersebut? Janganlah mereka disuruh membayar 700-800 ringgit setiap bulan menyewa di kawasan Kuala Ketil (yang begitu mahal kos sara hidupnya akhir akhir ini). Di manakah penghujungnya isu perumahan kakitangan ini, Datuk?

10. Tidak cukup dengan bebanan-bebanan seperti disebut tadi, Datuk tergamak memaksa kakitangan untuk mengeluarkan wang yang tidak seberapa itu untuk menderma pembinaan surau KUIN, berbelanja untuk jamuan Aidil Fitri 2015 dan segala macam derma yang Datuk minta kakitangan beri kepada KUIN. Tidak cukupkah  Datuk minta  kakitangan berkorban berpindah randah satu ketika dahulu dengan wang ringgit poket sendiri. Tidak cukupkah pengorbanan kakitangan Datuk?

Mungkin inilah nasihat yang ingin disampaikan oleh kakitangan kepada Datuk. Janganlah lena dibuai gah kejayaan anugerah-anugerah yang dikatakan berprestij. Contohnya sudah jelas anugerah CMO itu bukan satu anugerah yang boleh dibanggakan pun. Lainlah kalau anugerah daripada Universiti Cambridge atau Oxford atau Harvard atau Al Azhar. Barulah gah, Datuk.

Yang Berbhg. Datuk
Silalah Datuk fikir-fikirkan lah apa yang diperkatakan ini.  Datuk sebenarnya gagal membawa KUIN ke mana mana. “Balik balik duk tang tu juga” kata orang Kedah. Semboyan telah berbunyi. Datuk fahamlah siren yang dibunyikan menandakan Datuk sudah tidak diperlukan di sini. Tidak perlulah menghantar Prof Che Ani Mad untuk mengirim surat sokongan para Dekan kepada YAB Menteri Besar bagi memastikan kerusi jawatan Datuk di KUIN terjamin. Masih ramai yang boleh dan mampu menggantikan tempat Datuk. Masih ramai lebih layak, percayalah!
Terima kasih kerana sudi membaca luahan ini, Datuk.


insan peka tapi tak lena....