Pages

Wednesday 6 February 2013

KEMAMPUAN BDB MEMBAYAR HUTANG KAMPUS KUIN DIPERTIKAI

6 Februari 2013
ALOR SETAR - Pemuda Gerakan Kedah hari ini mempersoal kemampuan Bina Darulaman Berhad (BDB) dan anak syarikatnya Kedah Sato Sdn Bhd (KSSB) untuk membuat bayaran balik pinjaman bank berjumlah RM330 juta bagi membiayai kos pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil.

Ketuanya Tan Keng Liang berkata mengikut anggarannya, KSSB dan BDB perlu menjelaskan bayaran kepada bank hampir RM50 juta setahun untuk pinjaman itu, sedangkan keuntungan BDB hanyalah kira-kira RM20 juta setahun.

"Kenapa BDB yang hanya ada modal saham dibayar RM72 juta perlu tanggung hutang untuk projek itu? Bagaimana kerajaan negeri akan bantu BDB untuk bayar balik hutang itu?," katanya pada sidang media di sini.

Katanya pinjaman daripada Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Islamic Bank Berhad itu dibuat oleh KSSB, dengan BDB bertindak sebagai penjamin korporat.
"Pemilik 100 peratus saham KSSB iaitu BDB telah beri jaminan korporat bagi pembayaran balik pinjaman RM330 juta itu," katanya.

Tan berkata BDB yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan milikan sebanyak 55 peratus.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak perlu menyelesaikan isu berkenaan.
"Kalau MB kata nak bagi RM50 juta pun saya nak ingatkan baki wang tunai kerajaan negeri Kedah hanya tinggal RM193 juta sahaja manakala baki hutang awam kerajaan negeri sudah cecah RM2.6 bilion," katanya.

Selain itu, Tan mendakwa KSSB juga telah melantik kontraktor lain untuk menyiapkan projek KUIN tanpa tender terbuka. - Bernama