6 Februari 2013
ALOR SETAR - Pemuda Gerakan Kedah hari ini mempersoal kemampuan Bina
Darulaman Berhad (BDB) dan anak syarikatnya Kedah Sato Sdn Bhd (KSSB)
untuk membuat bayaran balik pinjaman bank berjumlah RM330 juta bagi
membiayai kos pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di
Kuala Ketil.
Ketuanya Tan Keng Liang berkata mengikut anggarannya, KSSB dan BDB
perlu menjelaskan bayaran kepada bank hampir RM50 juta setahun untuk
pinjaman itu, sedangkan keuntungan BDB hanyalah kira-kira RM20 juta
setahun.
"Kenapa BDB yang hanya ada modal saham dibayar RM72 juta perlu tanggung
hutang untuk projek itu? Bagaimana kerajaan negeri akan bantu BDB untuk
bayar balik hutang itu?," katanya pada sidang media di sini.
Katanya pinjaman daripada Bank Islam Malaysia Berhad dan Affin Islamic
Bank Berhad itu dibuat oleh KSSB, dengan BDB bertindak sebagai penjamin
korporat.
"Pemilik 100 peratus saham KSSB iaitu BDB telah beri jaminan korporat bagi pembayaran balik pinjaman RM330 juta itu," katanya.
Tan berkata BDB yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah anak
syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan milikan sebanyak
55 peratus.
Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak perlu menyelesaikan isu berkenaan.
"Kalau MB kata nak bagi RM50 juta pun saya nak ingatkan baki wang tunai
kerajaan negeri Kedah hanya tinggal RM193 juta sahaja manakala baki
hutang awam kerajaan negeri sudah cecah RM2.6 bilion," katanya.
Selain itu, Tan mendakwa KSSB juga telah melantik kontraktor lain untuk menyiapkan projek KUIN tanpa tender terbuka. - Bernama