SUMBER :
UTUSAN , BERNAMA, BERITA HARIAN, kedahan
ALOR SETAR 20 Feb. - Sebanyak 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah
dipercayai sepakat mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul
Razak supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya Pas negeri
kerana dianggap lemah dalam menerajui parti itu.
Ketua Unit Peti Undi (UPU) Pas, Megat Dewa Asri Ahmad mendakwa,
kelemahan kepimpinan Azizan yang gagal menyelesaikan masalah dalaman
parti menyebabkan ramai di kalangan anggota PAS tidak berpuas hati
dengannya serta berasa kecewa.
"Dari segi pentadbiran negeri tak dak masalah, tapi dalam parti
beliau sangat lemah dan kami mahu beliau melepaskan takhtanya sebagai
Pesuruhjaya Pas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Komplek Pas
Kedah Batu 9, Kota Sarang Semut dekat sini hari ini.
Asri mendakwa antara 11 DUN yang mahu Azizan berundur ialah Kota Siputeh, Bandar Baharu, Alor Mengkudu dan Merbau Pulas.
Dakwanya desakan itu sebenarnya disokong Dewan Ulama Pas Kedah yang
bermesyuarat hari ini dan perkara itu akan dibawa ke peringkat pusat
untuk tindakan selanjutnya.
"Kami bagi sokongan kepada Ulama dan mahu selesaikan perkara ini di
peringkat pusat, minta Azizan turun... kami mahu PAS Kedah kembali
kepada dasar yang ditetapkan, ulama adalah dasar perjuangan PAS," kata
Asri.
Sementara itu, Azizan ketika diminta mengulas mengenai desakan itu
berkata, ada pihak yang sengaja ingin menimbulkan huru-hara dan ia
merupakan strategi yang dipercayai dirancang musuh Pas.
Beliau berkata, bagaimanapun sebagai sebuah negara bebas, sesiapa
sahaja berhak untuk mengeluarkan kenyataan dan pihaknya hanya boleh
lihat apa sahaja yang dilakukan mereka.
"Pimpinan-pimpinan bahagian semua bersatu dan tak ada masalah pun,
tiba-tiba ada pulak pihak lain cuba timbulkan huru-hara. Apa lagi yang
saya buat tak kena, saya dah cuba bangunkan negeri, buat yang terbaik
untuk rakyat," katanya.
Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika
ditemui pemberita pula berkata, setakat ini isu desakan supaya Azizan
berundur belum pernah dibangkitkan dalam mesyuarat perhubungan yang
dihadiri semua bahagian pada setiap bulan.
"Kalau ada perkara tak puas hati, patut guna saluran perhubungan...
setakat ni tak sebut dalam mesyuarat perhubungan secara rasmi lagi,"
katanya. - BERNAMA