Admin Blog telah menerima satu nukilan berjela dalam email blogger. mari kita baca:
Salam Syawwal saudara blogger yang dihormati dan semua pembaca budiman
Sebelum saya membicara lanjut tentang krisis kewangan yang
berlaku di Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), izinkan saya menyingkap
terlebih dahulu sejarah penubuhan universiti milik penuh Kerajaan Negeri
Kedah ini. INSANIAH ditubuhkan pada Oktober 1995 pada ketika era
pemerintahan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai oleh Menteri Besar
pada ketika itu iaitu Tan Sri Dato' Seri Hj. Osman Hj. Aroff.
Keprihatinan kerajaan Barisan Nasional untuk memberi peluang kepada anak
Kedah khasnya dan Malaysia amnya untuk melanjutkan pelajaran di dalam
negara telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Jesteru itu,
tidak hairanlah KUIN yang dahulunya dikenali sebagai Institut Agama Islam
Negeri Kedah Darul Aman atau nama singkatannya INSANIAH telah menjadi
nadi utama pendidikan terutamanya dalam aliran agama kepada penduduk
negeri jelapang padi ini. Tahun demi tahun, hari berganti hari,
perkembangan INSANIAH sangatlah memberangsangkan.
Perkembangannya bukan sahaja dari sudut fizikal bahkan perancangan
diatur untuk menaiktaraf INSANIAH kepada Kolej Universiti dan hasilnya
pada 15 Mei 2006, INSANIAH telah mendapat surat kelulusan daripada
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dinaiktaraf sebagai Kolej
Universiti INSANIAH (KUIN). Harus diingat bahawa kenaikan taraf ini
adalah pada ketika pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional. Jika disebut
institusi pendidikan tinggi agama di utara, masyarakat akan terus
menghala ke KUIN. Begitu juga jika ingin mencari para imam atau guru
mengajar agama, KUIN akan menjadi agen kepada perkara tersebut. Hatta
sekadar membaca doa di majlis keramaian pun, KUIN tetap memberi pilihan
terbaik kerana mempunyai ’tok-tok guru’ yang hebat.
Namun, perkara itu telah berlalu dan semakin dilupakan. Bermulah
era pemerintahan Pas yang diketuai oleh Dato’ Seri Azizan Bin Abdul
Razak menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN dan beliau telah melantik
Prof Dato’ Dr. Jamil Osman sebagai Rektor KUIN yang keempat pada 1 Mei
2008 bagi menggantikan Prof Dato’ Dr Sayyid Muhammad Aqiel al Mahdaly.
Pemerintahan Dato’ Dr. Jamil telah menyebabkan banyak perubahan yang
berlaku. Penubuhan beberapa kulliyyah seperti kejuruteraan, multimedia
dan yang terbaru Kulliyyah Perubatan telah lari dari idea asal penubuhan
KUIN. Kemasukkan pelajar yang sedikit jika dibandingkan dengan
kulliyyah-kulliyyah aliran agama seperti Al-Quran, Usulluddin dan
Syariah amat ketara sama sekali. Penambahan lebih dari 40 program
pengajian di KUIN seumpama gah diluar tetapi kosong didalamnya. Perkara
itulah yang dicanang oleh MB dan Rektor seolah-olah merekalah yang
menjadikan KUIN hebat tetapi pada hakikatnya
terdapat program yang tiada langsung pelajar.
Saudara blogger,
Pelbagai peristiwa telah berlaku apabila KUIN bertukar pengurusan
pada 2008. Seperti contoh, pada 11 Januari 2011, Majlis Perwakilan
Mahasiswa telah menganjurkan perhimpunan aman mahasiswa untuk
menyelesaikan beberapa masalah yang berlaku di KUIN. Pada pendapat
mereka, pentadbiran KUIN telah gagal menyelesaikan beberapa masalah
dengan baik. Diantara yang dituntut oleh mereka adalah masalah kelewatan
pembayaran zakat, isu penempatan, isu keselamatan dan sebagainya.
Begitu juga pada 1 April 2011, selepas menunaikan solat Jumaat
sekumpulan pelajar dan pensyarah tahfiz telah mengadakan demonstrasi
aman bagi menuntut semula bangunan tahfiz yang telah dirampas untuk
pembangunan Sekolah Insan Bestari (mungkin tidak bestari). Himpunan ini
turut melibatkan Saudara Faiz Arsyad (Presiden MPM pada ketika itu), dan
beberapa orang exco MPM yang turut bersama memperjuangkan hak kulliyah
tahfiz. Rentetan peristiwa tersebut, pada 3 April 2011, Ustaz
Muhammad Idrus Bin Ismail telah dilucutkan jawatan selaku Timbalan
Dekan Kulliyyah Al-Quran kerana turut terlibat dalam demonstrasi
bantahan pembinaan Sekolah Insan Bestari. Kesemua ’tok-tok- guru’ yang
mengajar di Kulliyyah Al-Quran telah ditendang ke Yayasan Islam Negeri
Kedah disebabkan penentangan mereka demi menegakkan kebenaran dan
menghapuskan kezaliman. Begitu juga 5 orang pelajar KUIN yang menyertai
perhimpunan tersebut turut dikenakan tindakan tetatertib yang disifatkan
sebagai tindakan yang melulu oleh pentadbiran KUIN.
Saudara blogger dihormati,
Pengurusan baru KUIN juga telah menubuhkan beberapa
anak syarikat kononnya untuk menjana keuntungan. Rasional penubuhan
anak-anak syarikat seperti Insan Maya, Insan Holdings, Insan System juga
semakin kabur. Kewujudan anak-anak syarikat inilah telah menyebabkan
krisis kewangan di KUIN semakin parah. Yang peliknya, anak-anak syarikat
ini hanya ’mencari duit’ di dalam KUIN sahaja. Apa sahaja projek di
KUIN, anak-anak syarikat ini akan menanti dengan penuh senyuman. Setiap
kerja yang dijalankan di dalam KUIN, akan dituntut bayarannya. Yang
pelik dan hairannya, gaji kakitangan anak syarikat ini ditanggung oleh
KUIN menerusi peruntukan dari kerajaan negeri, yuran pelajar dan
sebagainya. Bukankah anak syarikat perlu menjana keuntungan untuk KUIN
dan bukannya mengaut segala duit yang telah dikhaskan oleh Kerajaan
Negeri kepada KUIN. Ini sekaligus menyebabkan krisis kewangan KUIN
semakin parah.
Saudara blogger,
Kerajaan Persekutuan pada bajet pembentangan 2012
melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2012 telah meluluskan
kenaikkan gaji kepada kakitangan awam sebanyak 13 peratus dan Elaun Sara
Hidup atau COLA sebanyak RM 50.00. Berita ini telah mengembirakan
kepada kakitangan awam seluruh Malaysia baik pada peringkat persekutuan
mahupun negeri. Namun sehingga kini, semua kakitangan KUIN tidak
mendapat apa yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan. Alasannya menurut
Pengerusi, KUIN merupakan institusi swasta yang tidak perlu menerima
kenaikan ini. Hairannya, sebelum ini semua pekeliling yang telah
dikeluarkan oleh kerajaan sama ada negeri atau persekutuan, akan
diterima pakai. Setiap staf baru perlu melalui Kursus Induksi
bersama-sama penjawat awam Negeri Kedah yang lain. Selain dari itu,
bayaran elaun mahupun tuntutan akan menggunapakai pekeliling kerajaan.
Setiap gred jawatan
turut mengikut kerajaan persekutuan sepertimana yang telah ditetapkan
oleh JPA. Kesemua perkara ini membuatkan kakitangan KUIN bingung dengan
alasan yang telah diberikan oleh Pengerusi KUIN tersebut. Mengapa isu
IPTS ini berkumandang setelah kerajaan PAS mengambil alih tampuk
pemerintahan di Negeri Kedah? Sedangkan pada era pemerintahan Barisan
Nasional, kakitangan KUIN akan menikmati apa saja yang diumumkan oleh
Kerajaan Persekutuan baik dari segi bonus tahunan, kenaikan gaji dan
sebagainya. Apakah disebabkan KUIN mampunyai masalah kewangan, maka isu
ini ditimbulkan seolah-olah cuba untuk mengalih isu kenaikkan tersebut?
Mengapa pentadbiran separuh ular dan separuh biawak diterapkan dalam
pemerintahan di KUIN? Pada hari ini, 28 Ogos 2012 melalui akhbar Sinar
Harian edisi utara, YB. Dato’ Haji Mohamad Taulan Mat Rasul menegaskan
KUIN tidak akan diswastakan. Beliau turut menyatakan, penswastaan KUIN
akan melalui terlebih dahulu mesyuarat ahli
lembaga pengarah untuk persetujuan. Tidakkah pada 16 Julai 2012,
Menteri Besar menyatakan bahawa KUIN sebagai sebuah institusi pengajian
tinggi swasta, tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan yang
mewajibkan institusi itu mengikut arahan yang terkandung dalam
pekeliling dikeluarkan kerajaan persekutuan tanpa melalui Mesyuarat
Lembaga Pengarah KUIN. Tetapi hari ini, Exco tersebut menafikan KUIN
akan diswastakan. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka
ini membuatkan staf KUIN semakin keliru dan muak.
Saudara blogger,
Baru-baru ini , Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah iaitu Datuk
Seri Mahadzir bin Khalid telah mendedahkan beberapa masalah bayaran
tunggakkan yang dihadapi oleh kakitangan KUIN. Beliau menyatakan bahawa
potongan yang dibuat oleh kakitangan KUIN melalui potongan gaji setiap
bulan tetapi malangnya tidak sampai kepada pihak bank. Bayaran seperti
Insuran, Zakat Pendapatan, KWSP, Perkeso,pinjaman perumahan dan peribadi
yang dibuat melalui potongan gaji majikan tidak dijelaskan kepada pihak
yang berkenaan. Perkara ini akan menyebabkan pihak kakitangan KUIN
menanggung bebanan kerana setiap kos guaman akibat kelewatan bayaran
ditanggung oleh kakitangan KUIN. Segala bukti yang didedahkan
seolah-olah tidak dihiraukan oleh Azizan. Seperti biasa, Pengerusi KUIN
itu akan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang mencari isu
pilihanraya. Lebih malang lagi, pihak kakitangan
juga dipersalahkan kerana tidak tahu apa-apa berkenaan KUIN walhal
kakitangan KUINlah yang selama ini bertungkus-lumus untuk menaikkan nama
KUIN agar menjadi sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam yang
berprestij. Adakah KUIN layak digelar Institusi Pengajian Tinggi Islam
sedangkan hak para kakitangan dinafikan sesuka hati? Selain dari itu,
terdapat juga beberapa orang kaki ampu rektor yang terus menyatakan KUIN
masih lagi berada dilandasan yang betul sedangkan mereka turut
mengalami masalah yang sama seperti diatas.
Saudara blogger,
Kemuncak dari semua permasalahan ini, staf dan pelajar
KUIN telah menunaikan solat hajat di Surau KUIN pada 17 Mei 2012. Solat
hajat dan bacaan yassin kali ke-2 turut dijalankan di Masjid Ar-Rahman
Taman Wira, Megong, Kedah pada 24 Mei 2012 yang telah dihadiri hampir
300 kakitangan KUIN dan masyarakat luar yang bersimpati agar semua
masalah KUIN ini dapat dirungkaikan dengan tenang dan aman. Begitu juga
pada 2 Julai 2012, kakitangan KUIN telah membuat demo untuk mendesak
Rektor KUIN meletak jawatan. Malangnya sehingga hari ini, pengurusan
Tertinggi KUIN terus berdiam diri tanpa memberi sebarang kenyataan. Dan
yang tebaru, KUIN mungkin akan di jual kepada sebuah syarikat swasta dan
ini akan menyebabkan para pelajar akan menanggung kos yang begitu
tinggi. Jelaslah, kerajaan PAS Kedah telah berjaya menjahanamkan KUIN
demi survival politik mereka. Mereka berbangga dengan pembinaan Kampus
Tetap INSANIAH di Kuala Ketil tetapi mereka tidak menghiraukan
kesusahan dan kepayahan staf KUIN yang telah membeli rumah dan selesa
menetap di Alor Setar. Pertukaran tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri
Kedah merupakan satu malapetaka besar kepada hampir keseluruhan staf
KUIN.
Akhir sekali, kepada Rektor KUIN Prof. Dato’ Dr. Jamil
Osman, berundurlah dengan penuh rasa hormat kerana hampir keseluruhan
staf KUIN tidak mampu lagi bekerjasama dengan anda. Kepada semua exco
yang sedang enak diulit kerusi empuk pentadbiran kerajaan negeri, jangan
hanya sekadar memerhati sahaja dan mengganggap isu ini remeh. Kepada
Dato’ Seri Azizan Bin Abdul Razak, dengarlah rintihan semua kakitangan
dan pelajar KUIN. Janganlah hanya mendengar satu pihak sahaja yang
memberi laporan. Turun dan bincanglah seadil-adilnya dengan semua
kakitangan tanpa kehadiran Pengurusan Tertinggi KUIN untuk mendapat
gambaran yang lebih jelas berkenaan isu ini. Rakyat diluar sana sedang
memerhatikan keupayaan anda untuk menangani masalah ini. Sekiranya anda
gagal dalam menangani masalah ini, jelas bahawa KUIN semakin bercelaru
di bawah pemerintahan Pas. Bagaimana untuk mentadbir sebuah
negara yang besar sedangkan sebuah universiti pun masih lagi
terkial-kial untuk menguruskannya. Ingatlah, setiap inci jawatan yang
sedang ’besalut’ di tubuh anda, Allah yang menentukannya. Kerana
rakyatlah anda berada di atas, tetapi jangan lupa, kerana rakyat jugalah
anda akan tersungkur dan jatuh rebah ke bumi. Sekian.
-INSAN TULIS-