Pages

Sunday, 13 May 2012

AZIZAN RAZAK JADI REKTOR KUIN, JAMIL JADI MB KEDAH

NURUL FATIHAH SULAINI
13 Mei 2012
Isu Kuin bukan modal politik BN

ALOR SETAR - Pembongkaran satu persatu kemelut melanda Kolej Universiti Insaniah (Kuin) termasuk kenaikan yuran pengajian pelajar dan masalah pembayaran gaji kakitangan bukanlah modal politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, isu berkenaan adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian daripada semua pihak, terutama pengurusannya. 

“Baguslah jika beliau (Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak) anggap sudah menguruskan Kuin dengan baik serta berjaya. Saya bukan ingin kacau tetapi membantu supaya masalah yang berlaku dapat diselesaikan dengan elok.

“Tetapi kita juga mahu tahu apa yang dikatakan baik dan berjaya itu? Adakah fakulti sedia ada menunjukkan kejayaan membanggakan atau pengurusan Kuin sudah melaksanakan tugas dengan terbaik dari segi menguruskan gaji kakitangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Adun Pedu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azizan yang menganggapnya ketandusan isu untuk dijadikan modal politik dengan hanya memanipulasikan isu tertentu.

Menurutnya,  beliau tidak pergi ke Kuin mencari masalah yang berlaku, sebaliknya beberapa pensyarah dan kakitangan terlibat menemuinya untuk meminta bantuan agar dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan gaji mereka.

“Mereka yang datang berjumpa saya mengadu tidak mendapat bayaran gaji penuh.

“Contohnya gaji mereka dipotong RM500 untuk pembayaran kereta tetapi pada masa sama mereka turut mendapat surat dari bank kerana tiada pembayaran kereta dibuat dalam tempoh sepatutnya,” katanya.

“Kita bukan mahu mempersoalkan pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang, tetapi dalam soal ini jika boleh buat teguran untuk kebaikan kita akan buat supaya mendapat perhatian dari pihak yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, dalam laporan Sinar Harian semalam, Azizan menyifatkan isu membabitkan Kuin dan projek Aman Central yang didedahkan kepada umum konon ‘bermasalah’ adalah permainan politik pembangkang di negeri ini menjelang PRU13.

Azizan berkata, kemelut membabitkan kedua-dua projek mega Kerajaan Negeri itu dibongkar untuk memperlihatkan kelemahan dan kecacatan projek itu sedangkan ia diurus dengan baik.