Pentadbiran
Kerajaan Kedah kini semakin berkecamuk apabila sebilangan pemimpin
parti yang menerajui kerajaan negeri mengisytiharkan perang terhadap
Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai tadbir Kerajaan Kedah (KCS).
Indah
khabar daripada rupa slogan "Kedah Sejahtera" yang diuar-uarkan
kerajaan negeri, Kedah sebenarnya tidak pernah sejahtera dalam erti kata
sebenar sejak pakatan parti pembangkang merampas negeri ini daripada BN
pada pilihan raya umum 2008.
Satu
demi satu masalah timbul dalam pentadbiran yang diketuai Menteri Besar
Datuk Seri Azizan Abdul Razak. Masalah yang pada mulanya hanya berkisar
mengenai perbezaan pendapat antara parti pakatan iaitu PAS, PKR dan DAP
kemudian merebak kepada masalah perbalahan sesama pemimpin dalam parti.
Paling
jelas pada awal tahun ini, masalah "perbezaan pendapat yang ketara"
timbul antara Azizan, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, dengan Timbalan
Pesuruhjaya 1 Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Pesuruhjaya 2 Dr Ismail
Salleh, sehingga kedua-duanya enggan dilantik semula sebagai Exco.
Masalah
itu, yang memaksa campur tangan PAS pusat, berjaya "didiamkan" walaupun
hakikatnya "perbezaan pendapat" terus berlaku selepas Phahrolrazi dan
Dr Ismail menerima pelantikan semula Exco, dengan portfolio kurang
mencabar.
Kini timbul satu lagi masalah apabila pemimpin akar
umbi PAS dan PKR dilihat seolah-olah mengisytiharkan "perang" terhadap
pegawai-pegawai kerajaan negeri Kedah, sesuatu yang tidak pernah berlaku
sebelum ini.
Ramai
berpendapat kerajaan Kedah kini lumpuh apabila pemimpin utama berbalah
sesama sendiri manakala pemimpin akar umbi pula bermusuh dengan pegawai
kanan kerajaan negeri sehingga ke tahap mahu menentukan sendiri pegawai
kerajaan di kawasan masing-masing.
"Perang" antara pemimpin akar
umbi dengan pegawai kerajaan negeri sudah lama berlaku tetapi kini
semakin buruk apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Rasli Basir
menjadi sasaran ahli Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP).
Tindakan
Rasli menukar Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu Ahmad Fisol Md Nor
mendapat bantahan beberapa ahli Majlis Daerah, yang mengadakan
demonstrasi di hadapan Wisma Darul Iman bulan lepas.
Tidak cukup
dengan itu, pada Isnin lepas mereka meletakkan sepanduk dan poster
supaya Rasli meletakkan jawatan atau digantikan. Kumpulan itu mendakwa
Rasli menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan Ahmad Fisol sebagai
pegawai daerah Kuala Muda.
Ahmad Fisol, yang dilantik sebagai
pegawai daerah Kubang Pasu pada November tahun lepas, dipindahkan ke
Kuala Muda bulan lepas dan digantikan dengan Datuk Abdul Aziz Abdul
Ghani.
Perpindahan Ahmad Fisol itu menyebabkan beliau bukan lagi
yang dipertua MDKP, jawatan yang secara automatik turut disandang
sesiapa yang memegang jawatan Pegawai Daerah Kubang Pasu.
Azizan
dalam satu sidang media selepas mesyuarat Exco minggu lepas berkata
pertukaran Ahmad Fisol itu dilakukan mengikut prosedur dan tiada
sebarang kesalahan dalam pertukaran itu.
Seorang pegawai kanan
kerajaan negeri yang enggan namanya disiarkan berkata pertukaran tempat
bertugas bagi KCS adalah perkara biasa dan hal yang melibatkan pegawai
daerah adalah kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri.
Selain itu,
pelantikan pegawai daerah, yang ada di antara mereka turut memegang
jawatan yang dipertua majlis daerah, mendapat perkenan Sultan Kedah.
Masalah
serupa pernah timbul tahun lalu apabila sekumpulan 17 anggota Majlis
Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) menyerahkan memorandum kepada Azizan
membantah tindakan Yang Dipertua MPSPK Rozaina Radzi dan setiausaha
majlis itu, Radzuan Osman, merobohkan gerai-gerai haram di Jalan Cinta
Sayang di bandar itu.
Mereka meminta kedua-duanya ditukarkan ke
jabatan lain. Apabila tindakan mereka itu tidak dilayan, 17 ahli majlis
berkenaan bertindak memboikot semua mesyuarat MPSPK. (Lagi berita klik READ MORE )