Sunday, 23 February 2014

ISU PERPINDAHAN....


 ALOR SETAR - Semua pelajar Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) akan dipindahkan semula ke kampus induk, Kuala Ketil pertengahan tahun depan sejurus asrama pelajar siap dibina.
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, hanya pelajar Kuliyyah Perubatan akan kekal beroperasi di kampus Mergong.

“Sebelum ini, pelajar Kuliyyah Muamalat diarah berpindah ke kampus Mergong dari Kuala Ketil berikutan masalah tiada asrama. Kita bukan menganiaya pelajar kerana asrama sedia ada tidak cukup. Setelah masalah ini diatasi, pelajar akan meneruskan pengajian di Kuala Ketil,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pada sidang Dun baru-baru ini, peruntukan sebanyak RM5 juta diluluskan bagi menyiapkan asrama yang terbengkalai kerana berlaku masalah dalam perjanjian dengan kerajaan negeri terdahulu.

“Kemudahan asrama bagi 1,300 pelajar dijangka siap Mac 2014, pihak kontraktor memberi jaminan ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Tajul Urus yang juga Ahli Lembaga Pengarah Insaniah berkata, apabila asrama berkenaan siap, pelajar Kuliyyah Muamalat yang diarah berpindah ke kampus Mergong akan ditempatkan semula di asrama baharu di Kuala Ketil.

“Kita tidak melantik kontraktor baharu, sebaliknya dibuat perjanjian baharu yang memuaskan hati semua pihak. Saya juga ingin tegaskan, kampus Mergong tidak akan ditutup tetapi dijadikan kampus bandar untuk pelajar perubatan,” katanya.

Sebelum ini, ura-ura mengatakan akan berlaku perpindahan pelajar sekali lagi dan difahamkan Rektor Insaniah, Profesor Datuk Dr Mohd Yusof Kasim yang dilantik pada 16 September lalu, menggantikan Profesor Datuk Dr Jamil Osman yang
mengundurkan diri, 20 Jun lalu, sedang menyiapkan kertas kerja berhubung perpindahan itu untuk dibentangkan kepada Menteri Besar, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah.

Tajul Urus berkata, setelah isu asrama diatasi, pihak pengurusan akan menaik taraf kemudahan lain termasuk membina sebuah masjid di kampus Kuala Ketil.

Mac lalu, pelajar Kulliyyah Muamalat, Perhotelan, Kejuruteraan, Multimedia dan Pusat Pengajian Asasi diarah berpindah ke kampus Kuala Ketil bagi peringkat pertama. Bagaimanapun, pelajar Kuliyyah Muamalat diarah berpindah kembali ke kampus Mergong berikutan asrama pasang siap yang dijadualkan siap 17 Mac, masih tidak dapat disiapkan.

Pelajar Kuliyyah Muamalat diarah berpindah selepas cuti Aidilfitri (Ogos) berikutan asrama diduduki di Bukit Selambau bersifat sementara. Hanya Kuliyyah Muamalat diarah berpindah, manakala kuliyyah lain kekal di Kuala Ketil. Jumlah pelajar terlibat mencecah 1,200 orang.

Berikutan itu, pelajar menyerahkan memorandum membantah perpindahan itu kepada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, Julai lalu.

Ulasan Admin : GBK dari awal-awal lagi menyatakan bahawa pengurusan baru INSANIAH agar berhati-hati membuat sebarang keputusan dan kenyataan terutamanya berkenaan isu perpindahan kerana isu ini amat sensitif kepada seluruh kakitangan. Kalaulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Mak Jemah ke, Mak Baning ke..staf INSANIAH takkan terkejut dan melompat. Tetapi kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang exco kerajaan negeri yang memegang portfolio pendidikan, sudah tentulah seluruh kakitangan INSANIAH kelam kabut dan pening. Jadikan ini pengajaran didalam membuat sebarang keputusan terutamanya berkaitan perpindahan. Perlukah menyalahkan kakitangan dalam hal ini??