Seorang pensyarah di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang menghantar notis berhenti kerja terkejut apabila menerima surat penamatan perkhidmatan yang berkuatkuasa dalam tempoh 24 jam.
  
Pensyarah Kulliyah Hospitaliti dan Perkhidmatan Halal, Mohd Farid Alias berkata tambah menghairankan surat itu dikeluarkan oleh anak syarikat KUIN, Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB) yang tidak pernah mengeluarkan surat pelantikan beliau.
  
"Saya telah menulis surat bertarikh 15 Mac 2013 kepada pihak yang berkenaan menyatakan hasrat untuk menamatkan perkhidmatan berkuatkuasa 15 April 2013, namun tiga hari kemudian saya menerima surat pemecatan daripada IHSB berkuatkuasa 24 jam.
  
"Perkara ini melanggar Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja, Jabatan Tenaga Kerja Malaysia yang memperuntukkan majikan perlu memberi notis empat minggu bagi pekerja yang berkhidmat kurang daripada dua tahun," katanya dalam kenyataan di Alor Setar.
  
Katanya beliau menerima surat tawaran bekerja daripada KUIN pada 28 Februari 2011 yang ditandatangani Pendaftar KUIN dan dalam surat itu dinyatakan beliau akan diserap ke IHSB serta emolumennya dibayar syarikat itu.
  
Namun dakwa Mohd Farid, sepanjang tempoh perkhidmatannya beliau tidak pernah menerima surat lantikan daripada IHSB ataupun KUIN.
  
"Apabila saya mahu berhenti saya juga tidak tahu kepada siapa surat itu harus dituju," katanya yang mendakwa ada beberapa lagi pensyarah masih belum menerima surat lantikan sekalipun telah lebih setahun berkhidmat di KUIN.
  
Katanya lagi beliau memutuskan untuk berhenti selepas mendengar ada pihak mahu beliau berbuat demikian susulan kelantangannya bersuara mendedahkan dakwaan kepincangan dalam pengurusan KUIN, dan memberi notis sebulan bagi mengelak daripada membayar semula sebulan gaji kepada pengurusan.

- Bernama