Monday, 11 March 2013

STAF KUIN LEGA KPT TURUN PADANG

Sumber : Bernama 
 
ALOR SETAR 11 Mac - Warga kerja Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang akhirnya campur tangan membantu menyelesaikan kemelut institusi itu yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Wakil mereka, Sajiah Yakob berkata, sebagai antara warga kerja yang berjuang menuntut hak mereka, beliau lega kerana pelbagai isu di Kuin kini diberi perhatian kementerian itu.

Kini Rektor Kuin, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman perlu mengotakan setiap janji yang dibuat kepada pihak KPT, antaranya menyiapkan asrama untuk pelajar di kampus Kuala Ketil sebelum sesi pengajian bermula 17 Mac ini, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sajiah yang juga pensyarah di Kuin mengulas lawatan mengejut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustafa ke institusi itu semalam bagi menyelidik aduan warga kerja serta pelajar Kuin.

Sajiah juga meminta Jamil melepaskan jawatan jika tidak mampu menyelesaikan kemelut Kuin.
Ketika lawatan semalam, Rujhan memberitahu pemberita Kuin dikompaun RM272,000 kerana mengambil 34 pelajar di bawah syarat kelayakan.

Selain itu aliran tunai Kuin bagi tempoh 2007 hingga 2010 juga didapati negatif. - BERNAMA