Sunday, 17 March 2013

PELAJAR KUIN KECEWA ASRAMA TAK SIAP

Gambar diambil pada 16 Mac , hanya ada konkrit asas sahaja
 Sumber ;
Bernama
mSTAR
ALOR SETAR: Pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin)kecewa apabila asrama yang dijanjikan untuk mereka di kampus induk Kuin di Kuala Ketil masih belum siap hingga hari ini.

Jurucakap Gerakan Mahasiswa Prihatin Kuin Musab Habib berkata pihak pengurusan sebelum ini berjanji menyediakan asrama untuk pelajar yang akan berpindah ke Kuala Ketil dari Alor Setar dan Sungai Petani sebaik tiba bagi memulakan pengajian pada Sabtu.

"Namun pada 16 Mac 2013, ketika hadir untuk mendaftar di asrama Kuala Ketil, pelajar dan waris terkejut apabila dimaklumkan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar bahawa penginapan pelajar akan berpindah ke lokasi luar dari Kuala Ketil.

Tilam berselerak dalam dewan tempat pelajar lelaki menginap
"Perubahan saat-saat terakhir dibuat kerana bimbang diambil tindakan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana menjadikan bilik kuliah sebagai asrama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata rata-rata pelajar merungut dan kecewa kerana mereka kemudian dibawa ke Jitra semalam dan sebahagiannya terpaksa tidur di dalam dewan besar Kuin di Kuala Ketil. "Kami telah dicutikan hampir dua bulan walaupun sebenarnya cuti pertengahan kami hanya seminggu sahaja, dan tambahan cuti enam minggu lagi adalah untuk memastikan asrama pelajar siap pada 16 Mac.

"Tiba-Tiba apabila kami datang ke sini, asrama belum siap dan proses penempatan jadi kelam-kabut kerana tidak dipastikan di mana pelajar harus menginap. Kami kecewa kerana proses perpindahan ini mengganggu pengajian kami dan mengganggu mood pengajian pelajar," katanya.

Musab berkata Kuin sepatutnya peka dengan keadaan pelajar, dan jika pihak pentadbiran mengetahui bahawa bilik kuliah tidak boleh dijadikan asrama atas arahan KPT, mereka sepatutnya menyediakan penginapan alternatif lebih awal sebelum pelajar tiba di Kuala Ketil.

"Akhirnya, pelajar menjadi mangsa dan dipindah ke Kuala Ketil kemudian ke Jitra, kemudian ke Kuala Ketil, dan kemudian dengar cerita di Baling dan Kulim pula akan disediakan penginapan. Ini menyusahkan pelajar dan menimbulkan kebimbangan di kalangan waris," katanya.

Beliau berkata sebagai wakil mahasiswa, pihaknya berharap pengurusan Kuin menyelesaikan masalah dalaman pentadbiran dan kewangannya segera agar ia tidak memberi kesan kepada proses pengajian pelajar.

Musab berkata pihak pengurusan juga perlu memberi keutamaan kepada kebajikan pelajar terutama yang datang dari luar negeri Kedah dan luar negara, agar imej sebuah institusi pengajian tinggi Islam serta imej negeri tidak tercalar.


Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Profesor Datuk Dr Rujhan Mustafa, dalam satu lawatan mengejut ke kampus Kuin di Mergong pada 10 Mac lepas, pihaknya memberi tempoh sehingga hari ini (17 Mac) untuk pengurusan Kuin menyediakan asrama di kampus induk di Kuala Ketil.

Rujhan berkata pihak Kuin tidak boleh menggunakan bangunan kuliah sebagai asrama kerana ia tidak menepati syarat untuk dijadikan penginapan pelajar.

Difahamkan, rekod perpindahan pelajar ke Kuala Ketil melibatkan Kulliyyah Muamalat, Perhotelan, Kejuruteraan , Multimedia dan Pusat Pengajian Asasi. -BERNAMA