Pages

Friday, 15 March 2013

Tindakan Kuin terburu-buru pindah operasi ke Kuala Ketil dipersoalkan


Sumber : 
Utusan Malaysia
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 15 Mac - Skuad Bersih Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mempersoalkan tindakan pengurusan tertinggi kolej universiti itu yang terburu-buru memindahkan operasi ke kampus baharunya di Kuala Ketil sedangkan kelengkapan penting seperti penginapan untuk menampung kira-kira 1,800 penuntut belum disempurnakan.

Salah seorang anggota skuad berkenaan, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata, tindakan tersebut menimbulkan pelbagai masalah terutamanya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya menjadi agenda utama bagi sesebuah institusi pengajian tinggi.

Katanya, mengikut jadual asal, perpindahan dari kampus di sini ke Kuala Ketil adalah pada Mei ini, iaitu selepas para pelajar selesai mengambil peperiksaan bagi sesi pengajian 2012/2013.

"Hasrat untuk berpindah awal ketika asrama belum siap mengakibatkan pengajian pelajar ditunda dua kali sehingga menjadikan cuti pertengahan semester selama hampir dua bulan.

"Mengapakah harus berpindah awal jika pengurusan tertinggi Kuin mengetahui asrama di Taman Insaniah hanya dijangka siap pada Julai ini," katanya, di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan berkata, Kuin terpaksa menangguh pembinaan asrama kekal kerana masalah kos pembinaan yang meningkat.

Sebelum itu, beberapa kakitangan Kuin mahu pihak pengurusan tertinggi menunaikan janjinya kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyiapkan pembinaan asrama pasang siap selewat-lewatnya Ahad ini bagi menjaga imej dan maruah kolej universiti tersebut.

Muhammad Azki yang juga Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Syariah Kuin berkata, alasan Azizan bahawa kelewatan pembinaan asrama berpunca daripada masalah kos pembinaan meningkat ekoran kejadian runtuhan sebuah stadium di Terengganu hanya mahu menutup kelemahan dirinya kerana hal itu tidak mempunyai hubung kait.

Katanya, perancangan pembinaan dan pelan kampus Kuin di Kuala Ketil bermula seawal 2009 dan di dalam pelan asal, asrama serta masjid termasuk dalam senarai kemudahan yang akan dibina oleh Kedah Sato Sdn. Bhd. (KSSB).

Menurutnya lagi, perjanjian bagi penyediaan kemudahan kewangan bernilai RM330 juta antara KSSB bersama pihak bank dibuat pada 22 Februari 2010 manakala kejadian runtuhan bumbung sebuah stadium di Terengganu kali pertama berlaku pada Februari 2009 dan yang terbaharu adalah pada awal tahun ini.

"Fakta tarikh ini membuktikan perancangan awal bagi pembinaan asrama dan masjid sudah mengambil kira kos dan spesifikasi bekalan serta bahan binaan. Perjanjian pinjaman kewangan dilakukan pada Februari 2010 sedangkan runtuhan kali pertama awal 2009," katanya.

Mengenai penempatan penginapan pelajar di dalam bilik kuliah, Muhammad Azki menyerahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyelesaikannya kerana yakin kementerian itu lebih arif mengenai perundangan berkaitan institusi pengajian tinggi.


Katanya, Skuad Bersih Kuin juga masih menanti penjelasan Azizan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah kolej universiti tersebut berhubung pelbagai tuntutan dan desakan kakitangan mengenai dakwaan penyelewengan serta kerugian anak syarikat milik Kuin yang dipercayai menjadi punca krisis kewangannya. - UTUSAN