Pages

Friday 15 March 2013

Warga Kerja Kuin Mahu Rektor Dikenakan Tindakan Disiplin


Sumber :
Bernama

ALOR SETAR, 15 Mac (Bernama) -- Warga kerja Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menggesa agar Rektornya Prof Datuk Dr Jamil Osman dikenakan tindakan disiplin kerana menyebabkan Kuin menanggung denda yang tinggi.

Wakil mereka, Penolong Pendaftar Kanan Kuin Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata ini kerana Jamil mengaku melakukan kesalahan mengambil pelajar tidak memenuhi syarat, atas alasan "terlepas pandang" akan syarat wajib lulus Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) itu.

"Jamil sendiri telah menandatangani surat perjanjian akademik antara Kuin dan Kolej Islam Darul Ulum (Kidu) yang menyatakan bahawa seseorang calon yang hendak memasuki program tersebut (Ijazah Sarjana Muda Syariah) hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai STAM.

"Perjanjian tersebut ditandatangani sendiri oleh Jamil mewakili Kuin dan Zawawi Ahmad, Ketua Eksekutif Kidu dan disaksikan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Taulan Rasul," katanya dalam satu kenyataan media di sini Jumaat.

Justeru katanya alasan Jamil bahawa beliau "terlepas pandang" kerana STAM syarat baharu yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi tidak boleh diterima.

Katanya Jamil juga wajar dikenakan surcaj kerana menyebabkan Kuin dikompaun RM272,000 atas kesalahan itu.



Dalam lawatan mengejut Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa ke kampus Kuin di Mergong di sini minggu lalu, media diberitahu bahawa Kuin dikompaun RM272,000 kerana mengambil 34 pelajar di bawah syarat kelayakan.

-- BERNAMA