Pages

Tuesday 26 March 2013

KENYATAAN AKHBAR : KESAL TINDAKAN ZALIM INSANIAH HOLDINGS SDN BHD

Farid menunjukkan surat notis pemberhentian kerja 24 jam daripada IHSB



 KENYATAAN AKHBAR
Assalamualaikum wrt wbt

Saya mengambil tindakan untuk berhenti daripada kerjaya saya di KUIN ini sebagai pensyarah di Kulliyyah Hospitaliti dan Perkhidmatan Halal adalah kerana saya mendapat maklumat ura-ura pihak pengurusan tertinggi KUIN pernah mengarahkan kepada seseorang agar saya berhenti dari KUIN dan mahu saya keluar daripada KUIN ekoran banyak kenyataan yang saya keluarkan di dalam media tidak disenangi terutama oleh Rektor KUIN, Dato Jamil kerana saya banyak membongkar penyelewengan dan kelemahan pentadbiran KUIN di bawah Jamil.

Justeru itu saya dengan rela hati setelah berbincang dengan keluarga bagi memastikan rekod perkhidmatan saya bersih daripada sebarang tindakan undang-undang KUIN  dan bagi memudahkan saya mendapat pekerjaan lain di tempat yang lain memandangkan usia saya yang masih muda, saya mengambil keputusan untuk berhenti daripada KUIN . Pemberhentian saya akan dilakukan secara terhormat.

Saya telah menulis sepucuk surat kepada ‘mereka yang berkenaan’ pada 15 mac 2013 bagi menyatakan hasrat saya menamatkan perkhidmatan saya bermula 15 April 2013. Saya membuat notis awal sebulan daripada tarikh berhenti kerja bagi mengelak dikenakan bayaran sebulan gaji.

Namun tindakan saya yang penuh adab bagi keluar daripada kemelut yang ada dan mengikut prosuder yang sah tiba-tiba dijawab oleh Insaniah Holdings Sdn Bhd dengan tidak beretika dengan memberhentikan serta merta perkhidmatan saya berkuatkuasa 24 jam bermula 18 mac 2013 sedangkan saya memohon untuk berhenti kerja pada 15 April 2013.

Lihatlah betapa zalimnya Insaniah Holdings Sdn Bhd  kepada kakitangannya, sedangkan mengikut ‘GARIS PANDUAN PENGURUSAN PEMBERHENTIAN PEKERJA’ yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Malaysia :

1.Perkara 4.5 Majikan hendaklah memberikan notis penamatan perkhidmatan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955  (ceraian i) 4 minggu notis jika pekerja telah bekerja selama kurang daripada 2 tahun.


2.Perkara 4.6 , pihak majikan perlu membantu pekerja mencari kerja di tempat lain sebelum pemberhentian dilakukan.
Saya tak pasti pekeliling/sistem dan garis panduan mana yang pihak Sumber Manusia dan Ketua Eksekutif Insaniah Holdings Sdn Bhd  pakai? Atau memang mereka tak tahu bahawa untuk melakukan sesuatu penamatan perkhidmatan perlu ikut prosuder ?
Saya memang pening dengan pengurusan perkhidmatan KUIN dan Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB);

1.Saya di berikan surat tawaran kerja oleh pihak KUIN pada 28 Februari 2011 dan surat tersebut telah ditandatangani oleh Pendaftar KUIN. Di dalam surat tersebut termaktub bahawa saya akan diserapkan ke IHSB dan semua emolumen saya akan di bayar oleh pihak IHSB. Apa yang pelik dalam pengurusan perkhidmatan saya ialah , sepanjang saya diserapkan oleh ke IHSB, pihak IHSB langsung tidak pernah mengeluarkan surat perlantikan saya berkhidmat di bawah IHSB. Tiba-tiba apabila saya memaklumkan bahawa saya memohon untuk berhenti dalam tempoh sebulan saya terus diberhentikan oleh IHSB serta merta dalam 24 jam. Sepatutnya mereka merujuk kepada pihak KUIN yang menawarkan pekerjaan kepada saya bukan memecat saya.

2.Apa yang dilakukan oleh pihak IHSB adalah sesuatu yang berniat jahat. Saya memohon dengan baik untuk berhenti agar rekod perkhidmatan saya bersih, tiba-tiba saya diberhentikan dalam tempoh 24 jam.

3.Pihak IHSB tidak ada hak untuk memecat dan memberhentikan saya dalam tempoh 24 jam kerana IHSB hanya ditugaskan untuk menguruskan emolumen saya bukan ‘servis’ saya sebagaimana termaktub di dalam surat tawaran perkhidmatan saya.

4.Apabila saya ingin menamatkan perkhidmatan saya agak pelik dan tak tahu ke mana saya harus menghantar surat kerana semenjak saya bertugas di KUIN saya langsung tidak menerima surat lantikan sama ada daripada pihak KUIN atau pihak IHSB. Inilah pengabaian kebajikan yang berlaku dalam menguruskan perkhidmatan kakitangan KUIN. Ketirisan pentadbiran yang sangat teruk terutama dalam IHSB melambangkan mereka langsung tak menjaga kebajikan kakitangan sehinggakan ada beberapa pensyarah yang lain sehingga kini belum mempunyai surat lantikan walaupun sudah berkhimat di KUIN selama lebih daripada setahun.

Kesimpulannya , saya akan berbincang dengan rakan-rakan daripada skuad BERSIH KUIN dan peguam BERSIH KUIN, dan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada IHSB bagi mempertahan dan menjaga maruah saya .

Lebih detail seperti diberikan pada media nasional. Terima kasih.

Wassalam.

 Mohd Farid Bin Alias 
27 Mac 2013