Tuesday, 12 March 2013

KAKITANGAN KUIN NAFI POTONGAN GAJI TELAH DIBAYAR


Sumber :
Utusan Malaysia

ALOR SETAR 12 Mac - Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menafikan kenyataan Rektornya, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman bahawa semua tunggakan gaji kakitangan termasuk potongan bulanan bagi pihak ketiga sudah dijelaskan sehingga Februari lalu.

Pensyarah Kuliyah Perhotelan dan Perkhidmatan Halal Kuin, Mohd. Farid Alias berkata, berdasarkan rekod pada 10 Mac lalu, pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik kakitangan yang terakhir dibayar Kuin hanya setakat Ogos tahun lalu.

"Bagi gaji September 2012 sehingga Februari lalu, belum dibuat caruman sehingga sekarang.
"Saya hairan dengan sikap Jamil berhubung apa yang berlaku dalam isu Kuin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Jamil mendakwa semua pembayaran gaji kakitangan termasuk pemotongan bulanan bagi pihak ketiga telah dijelaskan setakat Februari lalu.

Mohd. Farid berkata, disebabkan potongan itu masih belum dibayar maka hasil dividen KWSP bagi 2012 hanya dikira bermula caruman Januari hingga Julai tahun lalu sahaja.

Beliau berkata, kakitangan Kuin juga mempertikaikan kenyataan Jamil kononnya asrama pelajar boleh disiapkan dalam tempoh lima hari sedangkan pembinaannya masih di peringkat konkrit asas.


"Jamil juga memberitahu pegawai-pegawai Kementerian Pengajian Tinggi aliran tunai kewangan Kuin 2011 adalah positif sedangkan kami tahu aliran tunai itu sebenarnya sangat negatif," jelasnya.

Tambah Mohd. Farid, Kuin juga melalui pegawainya didapati membuat minit mesyuarat palsu untuk digunakan dalam mahkamah bagi kes saman sebuah syarikat ke atas Kuin kerana gagal membayar seperti dalam kontrak perjanjian.

Beliau juga menyangkal kenyataan Jamil pihaknya terlepas pandang ketika mengambil pelajar di bawah kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) hingga mengakibatkan kolej universiti itu dikenakan kompaun sebanyak RM272,000 oleh kementerian.

"Ini sebenarnya bukanlah terlepas pandang kerana sebelum ini sudah ada beberapa pegawai Kuin yang menegur dan memaklumkan mengenai perkara itu kerana bercanggah dengan peraturan dan syarat yang ditentukan kementerian," katanya.

Tambah beliau, kes itu sebaliknya adalah kesalahan besar di bawah kategori kecuaian berat yang disengajakan dan Kuin boleh mengenakan tindakan surcaj terhadap pihak bertanggungjawab. 

- UTUSAN