Monday, 11 March 2013

ASRAMA PELAJAR TAK SIAP : KUIN BERHADAPAN SATU LAGI TINDAKAN KPT

Asrama pasang siap KUIN masih diperingkat pembinaan asas konkrit sedangkan pelajar akan mula menggunakannya pada 17 Mac ini : gambar diambil pada hari ini (11 Mac 2013, jam 11.20 pagi )

 Sumber ; Utusan Malaysia Online


ALOR SETAR 11 Mac - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berdepan dengan risiko menerima satu lagi tindakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi melibatkan penyediaan penginapan di kampus baharunya di Kuala Ketil dekat sini.

Ketiadaan asrama di kampus berkenaan mengakibatkan sesi pengajian selepas cuti pertengahan semester tertangguh beberapa minggu manakala asrama pasang siap yang dijanjikan dalam empat minggu sehingga kini belum disempurnakan.

Utusan Malaysia difahamkan, kerja-kerja pembinaan asrama pasang siap tersebut masih di peringkat awal dan dipercayai agak sukar untuk disiapkan dalam tempoh seminggu iaitu selewat-lewatnya pada 17 Mac ini seperti yang dijanjikan oleh pengurusan Kuin kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Munurut sumber, penyediaan asrama bagi kemasukan kira-kira 1,800 pelajar selepas berehat panjang menjadi aspek penting yang dinilai kementerian tersebut kerana dikhuatiri memberi kesan sehingga mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran mereka.
Bilik Kuliah dijadikan asrama : Adakah Jamil tipu KPT lagi
Berikutan itu, kata sumber itu, Kuin berdepan risiko dikenakan tindakan oleh kementerian terbabit mengikut Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996 (Akta 555) jika didapati gagal menyediakan kemudahan tersebut kecuali mereka mampu menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan.
Semalam, Kuin dilapor dikenakan kompaun sebanyak RM272,000 oleh Kementerian Pengajian Tinggi kerana mengambil 34 pelajar yang tidak menepati syarat kelayakan masuk.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa berkata, pihaknya juga memandang serius komitmen pengurusan Kuin untuk menyiapkan asrama bagi menampung kemasukan pelajar sebelum atau pada 17 Mac ini bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran kekal terjamin serta tidak terjejas.

Beliau juga tidak membenarkan penggunaan bilik kuliah sebagai asrama dan Kuin mesti menyiapkan penginapan pelajar mengikut tempoh dijanjikan jika tidak mahu dikenakan tindakan tegas. - 

UTUSAN