ALOR SETAR - Nasib tujuh graduan Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) di sini yang ijazah mereka tidak mendapat pengiktirafan Agensi Akreditasi Malaysia (MQA) telah dibawa untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Usaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyampaikan surat melalui faksimili kepada Perdana Menteri petang ini mendapat jawapan tidak sampai sejam daripada Pegawai Khas beliau, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Menurut Pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani, Irmohizam telah memaklumkan kepadanya menerima surat yang difaks serta mengambil perhatian dan meneliti kes tersebut sewajarnya.

"GPMS Kedah amat bersyukur dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap isu ini dan membuktikan beliau amat peka dengan masalah rakyat," kata Shamsul Bahar pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tujuh graduan Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat terbabit menerima ijazah pada konvokesyen Kuin Oktober lepas dalam dilema kerana tidak diterima dalam sektor kerajaan apabila ijazah mereka tidak mendapat pengiktirafan MQA.

Shamsul Bahar berkata, GPMS Kedah yakin dengan keprihatinan dan bantuan Perdana Menteri, polemik isu ini dapat diselesaikan dan pihaknya juga bersedia membawa pelajar berkenaan menemui Najib.

Katanya, surat yang sama dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin minggu lepas turut mendapat perhatian menteri berkenaan.