Pages

Saturday 22 December 2012

KUIN LEPAS TANGAN ISU GRADUAN IJAZAH AL QURAN TIDAK DIIKTIRAF MQA

Presiden GPMS Kedah sedang membuat kenyataan akhkbar

Sumber :
Bernama
Utusan Malaysia Nasional
Sinar Utara
Kosma Setempat
malaysiakini.com

22 Disember , ALOR SETAR: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah sedia mengatur pertemuan tujuh graduan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkaitan isu Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan al-Qiraat mereka yang tidak diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Abd Rani, berkata pihaknya terpanggil membantu tujuh graduan itu selepas pengurusan Kuin serta kerajaan negeri gagal menangani dan dilihat bersikap lepas tangan.


Menurutnya, pada masa sama, GPMS juga kesal kerana sehingga kini pengurusan Kuin masih belum bertemu dan berbincang dengan graduan berkenaan walaupun banyak desakan sudah dilakukan pelbagai pihak.


“GPMS dimaklumkan wakil tujuh graduan itu bahawa pengurusan tidak pernah memanggil atau berjumpa dengan mereka untuk memberi penjelasan berhubung status pengiktirafan ijazah mereka selepas konvokesyen pada September lalu.


“Bagaimanapun, kami difahamkan pada 19 Disember lalu, barulah pengurusan Kuin melalui timbalan dekannya menghubungi seorang graduan untuk membincangkan isu berkenaan.

“GPMS ingin mempersoalkan sikap pengurusan Kuin yang mengambil tempoh lama bagi menghubungi graduan berkenaan menyebabkan masa depan mereka terumbang-ambing selepas tidak diambil bekerja kerana tidak diiktiraf MQA,” katanya pada sidang media di pejabat GPMS Kedah, di sini, semalam.


Menurutnya, pihaknya memohon Kuin bersikap lebih bertanggungjawab dan berjumpa dengan graduan serta juga ibu bapa mereka bagi menjelaskan kedudukan sebenar sekali gus menyelesaikan polemik berkenaan.


Katanya, beliau dimaklumkan empat menghadiri temuduga Kursus Perguruan Lepasan Ijazah Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (KPLI-JQAF), tetapi gagal disebabkan ijazah mereka tiada pengiktirafan MQA.


“Kita juga mendapat maklumat bahawa seorang daripada tujuh graduan memohon jawatan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Kedah, tetapi gagal atas sebab sama.

“Berikutan itu, kami akan menghantar surat kepada Kementerian Pengajian Tinggi bagi meminta menyelesaikan segera masalah berkenaan,” katanya.