Pages

Monday 4 March 2013

AZIZAN DIGESA KEMUKAKAN BUKTI INSANIAH HOLDINGS TIDAK BERMASALAH

Sumber :
Bernama/ Berita Harian

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak digesa mengemukakan bukti bahawa anak syarikat Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB) tidak menghadapi masalah sehingga menjejaskan kolej universiti itu.

Penolong Pendaftar Kanan KUIN, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim, berkata setakat ini Azizan hanya menyangkal tanpa mengemukakan sebarang bukti selain seolah-olah tidak tahu perkembangan dalaman IHSB.

"Sampai surat peguam nak saman Insaniah Holdings pun tak tahukah? Sebelum keluar kenyataan kena fikir dan buat 'study' dulu, jangan emosi.


"Takkanlah Azizan sebagai Lembaga Insaniah Holdings tak tahu? Azizan kena tunjukkan penyata kewangan IHSB yang diaudit dari tahun 2009 sehingga tahun 2011," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Muhammad Azki Hafizi berkata, berdasarkan penyata kewangan IHSB bagi tempoh berakhir 31 Disember 2011, hutang IHSB kepada KUIN adalah sebanyak RM12.9 juta, sekali gus menyebabkan KUIN menanggung risiko yang sangat tinggi.

Muhammad Azki Hafizi berkata, ini kerana hutang terbabit bukan saja tidak dikenakan caj faedah tetapi juga tidak ditetapkan tempoh bayaran balik, selain tiada perjanjian langsung antara KUIN dan IHSB dalam melakukan transaksi.

"Perkara ini amat bersalahan dengan etika kewangan dan menunjukkan pengurusan kewangan yang tidak telus yang akhirnya menyebabkan masalah kewangan kritikal pada KUIN.
"Azizan kena ingat bahawa yang lantang mengkritiknya ini bukan calang-calang, tapi barisan pensyarah yang bergraduat dari dalam dan luar negara. Oleh itu kalau nak jawab kenyataan akhbar kami mahu fakta dan bukti, bukan hanya jawab macam orang politik," katanya. - BERNAMA