Pages

Monday 18 March 2013

KUIN LINGKUP JIKA MASALAH TAK SELESAI

Sumber : Berita Harian
 
Jitra: Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom percaya Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bakal lingkup jika masalah yang dialami kolej milik kerajaan negeri itu tidak ditangani secara profesional.

Beliau berkata, hari ini bukan sahaja kakitangan, pelajar turut menjadi mangsa akibat kerakusan PAS yang terlalu mengejar matlamat politik dalam pembinaan kampus KUIN di Kuala Ketil, dekat sini, walaupun hakikatnya masih terlalu banyak kemudahan asas gagal disediakan.
 
Katanya, sudahlah KUIN kini menanggung hutang pinjaman RM330 juta untuk pembinaan kampus di Kuala Ketil, kini masalah penginapan dihadapi di kampus itu turut menuntut perbelanjaan tambahan yang pastinya meningkatkan kos operasi KUIN.


“Bayangkan dengan asrama yang gagal disiapkan, pelajar harus menetap di kawasan luar dengan peruntukan bayaran sewa kira-kira RM48 sehari. Jadi pastinya kewangan KUIN akan bertambah merosot kerana gaji pensyarah pun mereka tak mampu nak bayar.

Menetap secara berselerak

“Jadi saya percaya dengan kemelut tidak berkesudahan yang melanda KUIN ini, tidak mustahil kolej universiti itu akan lingkup dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

BH melaporkan lebih 1,000 pelajar KUIN yang baru mendaftar masuk ke kampus induk KUIN yang dibangunkan dengan kos RM330 juta di Kuala Ketil, kini menetap secara berselerak selepas diarah berpindah keluar daripada asrama sementara yang disediakan KUIN di dua blok kuliah.
 
 Selain ada yang dipindahkan ke Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS) di Jitra, ada juga pelajar yang ditempatkan di dewan utama KUIN di Kuala Ketil kerana masalah penginapan.

Sementara itu, seorang pelajar tahun dua Kulliyyah Muamalat KUIN yang hanya ingin dikenali sebagai Ady, mengakui bingung memikirkan nasibnya kerana sehingga kini kelas yang dijadual bermula Ahad lalu, masih belum diputuskan statusnya.

“Semua pelajar sudah mendaftar masuk, namun kelas masih belum ditentukan. Bukan saja pelajar yang bingung, pensyarah sendiri tidak mempunyai jawapan untuk persoalan itu ketika ditanya.

“Saya harap pihak pengurusan dapat selesaikan masalah ini secepat mungkin kerana sudah terlalu lama kami bercuti. Saya sendiri sudah bosan menunggu kerana banyak masa terbuang kerana cuti yang tidak perlu,” katanya.