Bernama
ALOR SETAR: Pelajar Kolej Universiti Insaniah
(Kuin)kecewa apabila asrama yang dijanjikan untuk mereka di kampus induk
Kuin di Kuala Ketil masih belum siap hingga hari ini.
Jurucakap Gerakan Mahasiswa Prihatin Kuin Musab Habib berkata pihak
pengurusan sebelum ini berjanji menyediakan asrama untuk pelajar yang
akan berpindah ke Kuala Ketil dari Alor Setar dan Sungai Petani sebaik
tiba bagi memulakan pengajian pada Sabtu.
"Namun pada 16 Mac 2013, ketika hadir untuk mendaftar di asrama Kuala
Ketil, pelajar dan waris terkejut apabila dimaklumkan oleh Dekan Hal
Ehwal Pelajar bahawa penginapan pelajar akan berpindah ke lokasi luar
dari Kuala Ketil.
Tilam berselerak dalam dewan tempat pelajar lelaki menginap |
Beliau berkata rata-rata pelajar merungut dan kecewa kerana mereka
kemudian dibawa ke Jitra semalam dan sebahagiannya terpaksa tidur di
dalam dewan besar Kuin di Kuala Ketil. "Kami telah dicutikan hampir dua
bulan walaupun sebenarnya cuti pertengahan kami hanya seminggu sahaja,
dan tambahan cuti enam minggu lagi adalah untuk memastikan asrama
pelajar siap pada 16 Mac.
"Tiba-Tiba apabila kami datang ke sini, asrama belum siap dan proses
penempatan jadi kelam-kabut kerana tidak dipastikan di mana pelajar
harus menginap. Kami kecewa kerana proses perpindahan ini mengganggu
pengajian kami dan mengganggu mood pengajian pelajar," katanya.
Musab berkata Kuin sepatutnya peka dengan keadaan pelajar, dan jika
pihak pentadbiran mengetahui bahawa bilik kuliah tidak boleh dijadikan
asrama atas arahan KPT, mereka sepatutnya menyediakan penginapan
alternatif lebih awal sebelum pelajar tiba di Kuala Ketil.
"Akhirnya, pelajar menjadi mangsa dan dipindah ke Kuala Ketil
kemudian ke Jitra, kemudian ke Kuala Ketil, dan kemudian dengar cerita
di Baling dan Kulim pula akan disediakan penginapan. Ini menyusahkan
pelajar dan menimbulkan kebimbangan di kalangan waris," katanya.
Beliau berkata sebagai wakil mahasiswa, pihaknya berharap pengurusan
Kuin menyelesaikan masalah dalaman pentadbiran dan kewangannya segera
agar ia tidak memberi kesan kepada proses pengajian pelajar.
Musab berkata pihak pengurusan juga perlu memberi keutamaan kepada
kebajikan pelajar terutama yang datang dari luar negeri Kedah dan luar
negara, agar imej sebuah institusi pengajian tinggi Islam serta imej
negeri tidak tercalar.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Profesor Datuk Dr Rujhan
Mustafa, dalam satu lawatan mengejut ke kampus Kuin di Mergong pada 10
Mac lepas, pihaknya memberi tempoh sehingga hari ini (17 Mac) untuk
pengurusan Kuin menyediakan asrama di kampus induk di Kuala Ketil.
Rujhan berkata pihak Kuin tidak boleh menggunakan bangunan kuliah
sebagai asrama kerana ia tidak menepati syarat untuk dijadikan
penginapan pelajar.
Difahamkan, rekod perpindahan pelajar ke Kuala Ketil melibatkan
Kulliyyah Muamalat, Perhotelan, Kejuruteraan , Multimedia dan Pusat
Pengajian Asasi. -BERNAMA