Pages

Tuesday 5 March 2013

BERSIH KUIN ANJUR PENTAS BERSIH 2.0 KHAMIS INI DI PADANG LUMAT


Sumber : Bernama
 
ALOR SETAR, 5 Mac (Bernama) -- Petugas Kolej Universiti Insaniah (Kuin) akan menganjurkan siri penerangan isu kolej itu yang betul dan sebenar dinamakan Pentas Bersih Kuin 2.0 Khamis ini.

Program di Sekolah Menengah Agama Taufiqiah Halimiah, Batu 16, Padang Lumat, dekat Yan pada 9 malam itu adalah siri penjelajahan dan penerangan kedua selepas Pentas Bersih Kuin yang pertama di Jalan Suka Menanti di sini minggu lepas.

Penolong Pendaftar Kanan Kuin Muhammad Azki Hafizi Ibrahim, yang mewakili petugas Kuin, berkata objektif penganjuran ialah memperjelas isu sebenar berlaku dalam kolej itu berserta fakta dan bukti.

Beliau berkata petugas tidak mahu tindakan mereka menuntut hak daripada pengurusan tertinggi dikaitkan dengan mana-mana parti politik, dan agar masyarakat jelas serta tidak terkeliru dengan dakwaan palsu berkaitan isu Kuin.

"Semua lapisan masyarakat dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian putih sebagai tanda sokongan. Pihak skuad Bersih Kuin juga menjemput semua wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri Kedah, dan juga semua pemimpin politik sama ada PAS, Umno, PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan mana-mana parti politik lain," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Muhammad Azki berkata mereka juga berharap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dapat hadir pada malam itu kerana lokasi penganjuran hanya 500 meter dari rumah beliau.

"Jangan nanti bila pemimpin dari parti lain datang, dia nak kaitkan kami dengan mana-mana parti politik pulak, tapi dia tak mau turun. Turun untuk dengar sendiri masalah rakyat Kedah yang berada dalam Kuin, yang diabaikan kebajikan mereka," katanya.



Sebelum ini, petugas mendakwa kolej universiti milik kerajaan negeri Kedah itu tidak membayar wang pekerja kepada agensi pihak ketiga seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank, insurans dan institusi kewangan lain sedangkan potongan dilakukan dalam slip gaji mereka.

Mereka mendakwa sikap Kuin yang tidak membuat pembayaran itu menyebabkan tunggakan tiga hingga enam bulan mengakibatkan sebahagian besar petugas terpaksa menanggung beban seperti dikenakan caj kelewatan oleh bank, menerima surat amaran peguam, surat amaran kereta ditarik dan polisi insurans ditamatkan.

Sehubungan itu, dua laporan polis dibuat beberapa petugas berhubung dakwaan berlakunya penyelewengan dalam Kuin, dan satu aduan turut dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja berhubung perkara tersebut.

Petugas juga tidak berpuas hati dengan tindakan Azizan mendakwa mereka ejen Umno kerana sering membuat bantahan terhadap pengurusan kolej itu, sedangkan mereka hanya berjuang untuk hak dan kebajikan mereka.

Mereka turut mendesak Rektor Kuin Profesor Datuk Dr Jamil Osman dan Azizan, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin, berundur dari kolej universiti itu.



-- BERNAMA