Utusan Malaysia
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
ALOR SETAR 15 Mac - Skuad Bersih Kolej Universiti Insaniah (Kuin)
mempersoalkan tindakan pengurusan tertinggi kolej universiti itu yang
terburu-buru memindahkan operasi ke kampus baharunya di Kuala Ketil
sedangkan kelengkapan penting seperti penginapan untuk menampung
kira-kira 1,800 penuntut belum disempurnakan.
Salah seorang anggota skuad berkenaan, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim
berkata, tindakan tersebut menimbulkan pelbagai masalah terutamanya
terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya menjadi
agenda utama bagi sesebuah institusi pengajian tinggi.
Katanya, mengikut jadual asal, perpindahan dari kampus di sini ke
Kuala Ketil adalah pada Mei ini, iaitu selepas para pelajar selesai
mengambil peperiksaan bagi sesi pengajian 2012/2013.
"Hasrat untuk berpindah awal ketika asrama belum siap mengakibatkan
pengajian pelajar ditunda dua kali sehingga menjadikan cuti pertengahan
semester selama hampir dua bulan.
"Mengapakah harus berpindah awal jika pengurusan tertinggi Kuin
mengetahui asrama di Taman Insaniah hanya dijangka siap pada Julai ini,"
katanya, di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan
berkata, Kuin terpaksa menangguh pembinaan asrama kekal kerana masalah
kos pembinaan yang meningkat.
Sebelum itu, beberapa kakitangan Kuin mahu pihak pengurusan tertinggi
menunaikan janjinya kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk
menyiapkan pembinaan asrama pasang siap selewat-lewatnya Ahad ini bagi
menjaga imej dan maruah kolej universiti tersebut.
Muhammad Azki yang juga Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Syariah Kuin
berkata, alasan Azizan bahawa kelewatan pembinaan asrama berpunca
daripada masalah kos pembinaan meningkat ekoran kejadian runtuhan sebuah
stadium di Terengganu hanya mahu menutup kelemahan dirinya kerana hal
itu tidak mempunyai hubung kait.
Katanya, perancangan pembinaan dan pelan kampus Kuin di Kuala Ketil
bermula seawal 2009 dan di dalam pelan asal, asrama serta masjid
termasuk dalam senarai kemudahan yang akan dibina oleh Kedah Sato Sdn.
Bhd. (KSSB).
Menurutnya lagi, perjanjian bagi penyediaan kemudahan kewangan
bernilai RM330 juta antara KSSB bersama pihak bank dibuat pada 22
Februari 2010 manakala kejadian runtuhan bumbung sebuah stadium di
Terengganu kali pertama berlaku pada Februari 2009 dan yang terbaharu
adalah pada awal tahun ini.
"Fakta tarikh ini membuktikan perancangan awal bagi pembinaan asrama
dan masjid sudah mengambil kira kos dan spesifikasi bekalan serta bahan
binaan. Perjanjian pinjaman kewangan dilakukan pada Februari 2010
sedangkan runtuhan kali pertama awal 2009," katanya.
Mengenai penempatan penginapan pelajar di dalam bilik kuliah,
Muhammad Azki menyerahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk
menyelesaikannya kerana yakin kementerian itu lebih arif mengenai
perundangan berkaitan institusi pengajian tinggi.
Katanya, Skuad Bersih Kuin juga masih menanti penjelasan Azizan
selaku Pengerusi Lembaga Pengarah kolej universiti tersebut berhubung
pelbagai tuntutan dan desakan kakitangan mengenai dakwaan penyelewengan
serta kerugian anak syarikat milik Kuin yang dipercayai menjadi punca
krisis kewangannya. - UTUSAN