Umno Kedah mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelesaikanmasalah dalaman Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang didakwanya kini semakin kritikal.
Pengerusinya
Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno Kedah sedia membantu dengan
menghantar pakar dalam pendidikan tinggi untuk berkongsi idea jika
Azizan mahu menubuhkan jawatankuasa itu yang harus disertai pakar bebas.
"Rakyat
Kedah sayangkan KUIN kerana ia milik seluruh rakyat negeri ini. Bagi
Umno kita juga sedih melihat apa yang berlaku kerana institusi itu
ditubuhkan daripada perancangan dan pelaksanaan kerajaan Barisan
Nasional (BN) sebelum ini," katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari
ini.
Katanya Azizan selaku Pengerusi KUIN tidak harus menangguhkan usaha menangani kemelut institusi itu yang semakin rumit.
Pada
masa yang sama Ahmad Bashah turut membidas Azizan kerana hanya
mendengar dari sebelah pihak dan menggelar pihak yang lantang bersuara
terutama warga kerja KUIN sebagai 'kumpulan jahat'.
"Azizan sepatutnya bersikap terbuka dalam menangani kemelut yang berlaku di KUIN," katanya.
Mengulas
tindakan warga kerja KUIN mengadakan siri jelajah bagi menerangkan
pelbagai isu berkaitan kolej berkenaan, Ahmad Bashah berkata itu hak
mereka selepas suara hati mereka tidak didengari oleh pihak pengurusan
kolej tersebut.
Sebelum ini, staf KUIN mendakwa kolej
universiti milik kerajaan negeri Kedah itu tidak membayar potongan gaji
mereka kepada agensi pihak ketiga seperti Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja, bank, insurans dan institusi kewangan lain sedangkan potongan
dicatat dalam slip gaji mereka.
Mereka mendakwa akibat
tindakan KUIN itu pembayaran tertunggak antara tiga dan enam bulan,
sekali gus menyebabkan petugas terbabit menanggung beban seperti
dikenakan caj lewat, menerima surat amaran dari peguam, surat amaran
kereta ditarik dan polisi insurans ditamatkan.
Mereka turut
mendakwa berlaku krisis kewangan yang serius dalam KUIN susulan
penubuhan anak syarikat yang merugikan kolej universiti itu serta
mendesak Rektor KUIN, Prof Datuk Dr Jamil Osman dan Azizan berundur
daripada jawatan masing-masing.
- Bernama