Dato Rujhan (tengah) mengumumkan kompaun terhadap KUIN 272,000.00 |
Sumber : Bernama , Malaysiakini, Kedahan, Blog Utama Nasional
ALOR SETAR – Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dikompaun RM272,000
kerana mengambil 34 pelajar di bawah kelayakan syarat masuk yang
ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Profesor Datuk Dr Rujhan
Mustafa berkata kompaun itu perlu dilunas sebelum 26 Mac ini, dan jika
gagal, secara autmatik tanpa notis, tindakan undang-undang akan diambil
terhadap Kuin.
“Jika sabit kesalahan, pihak Kuin boleh dikenakan denda RM50,000 bagi
setiap pelajar dan setakat ini, pengurusan Kuin berjanji akan
menjelaskannya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan
mengejut ke kolej itu di Mergong, Ahad.
Beliau berkata 34 pelajar berkenaan sedang mengikuti kursus Pengajian
Islam yang masuk di bawah kelayakan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Rujhan berkata lawatan mengejut itu dibuat berdasarkan Seksyen 3(3)
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, yang membolehkan beliau
selaku Ketua Pendaftar, antaranya, membuat penguatkuasaan ke atas
mana-mana IPTS untuk memasuki premis, memeriksa, menyiasat salah laku
(dan aduan), memeriksa, meminta dan mengalih dokumen atau membatalkan
pendaftaran.
Mengulas pertemuan dengan Rektor Kuin Profesor Datuk Dr Jamil Osman
selama lebih kurang dua jam, Rujhan berkata pihaknya turut meneliti
aliran tunai kolej itu bagi 2007 hingga 2010 dalam laporan teraudit, dan
mendapati ia adalah negatif.
“Pihak pengurusan Kuin memaklumkan bahawa laporan teraudit untuk 2011
adalah positif tetapi masih belum menyerahkan kenyataan bertulis kepada
kami, dan kami meminta mereka berbuat demikian dengan segera.
“Kita memaklumkan supaya pengurusan Kuin berbincang dengan Pengerusi
Lembaga Pengarah, yang juga Menteri Besar Kedah, supaya meneliti perkara
ini dengan segera kerana aliran tunai yang positif sangat penting bagi
sesebuah IPTS,” katanya.
Selain itu, Rujhan berkata mereka membincangkan aduan yang telah
dibangkit pihak dalaman Kuin sendiri seperti kelewatan pembayaran gaji
lambat, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pembayaran
pinjaman bank yang tidak mengikut bulan tertentu sehingga menjejas
kebajikan staf.
“Kita dimaklumkan bahawa tunggakan bayaran itu telah diselesaikan
sehingga Januari secara lisan, dan meminta pihak Kuin memberi kenyataan
bertulis secepat mungkin.
“Kita juga memberi peringatan kepada Kuin supaya mengambil berat
tentang kebajikan staf agar moral staf tidak terjejas kerana IPTS
bergantung kepada tenaga pengajar,” katanya.
Rujhan berkata pengurusan Kuin juga perlu bersikap terbuka serta
lebih berlapang dada apabila warga kerjanya menyuarakan sebarang rasa
tidak puas hati dan menyelesaikannya secara duduk bersama serta
berbincang.
Mengulas isu asrama di kampus induk Kuin Kuala Ketil, beliau berkata
pihaknya memberi tempoh sehingga 17 Mac ini pihak berkenaan menyediakan
penginapan pelajar itu, selepas tujuh minggu pengajian tertangguh. –
BERNAMA