Friday 8 March 2013
HANYA BANGGA 48 PROGRAM :12 PROGRAM KUIN TIADA PELAJAR
Sumber : Bernama
ALOR SETAR, 8 Mac (Bernama) -- Sebanyak 12 daripada 48 program yang ditawarkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak ada pelajar, namun pihak pengurusan tetap membayar gaji pensyarah program terbabit.
Penolong Pendaftar Kanan Kuin Muhammad Azki Hafizi Ibrahim mendakwa perkara itu antara yang memburukkan lagi keadaan kewangan Kuin.
Sebelum 2008, Kuin hanya menawarkan tujuh program namun kini ada 48. Daripada jumlah itu ada program langsung tidak ada pelajar, manakala ada pula memiliki kurang 10 pelajar, katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.
Beliau sebelum itu menyertai Pentas Bersih Kuin 2.0 di Sekolah Agama Taufikiah al-Halimiah (Pondok Pa Ya) Padang Lumat, yang bertujuan menjelaskan kepada masyarakat kemelut sebenar Kuin.
"(Menteri Besar Datuk Seri) Azizan (Abdul Razak) diberi peluang secukupnya tetapi setelah lima kali bertemu dan kemelut yang dihadapi gagal diselesaikan barulah pelajar membuat demonstrasi dan Pentas Bersih Kuin dianjurkan," katanya.
Beliau juga menjangka kemelut Kuin bertambah parah apabila pelajar dipindahkan ke kampus Kuala Ketil dalam masa terdekat memandangkan tempat penginapan belum siap.
"Kami dapat tahu pengurusan Kuin hendak jadikan bilik kuliah sebagai asrama setelah kontraktor gagal menyiapkan asrama pasang siap seperti dijanjikan. Keselamatan dan privasi pelajar tidak ada bila bilik kuliah dijadikan asrama malah cuti seminggu bermula 27 Jan lepas dilanjutkan sehingga 16 Mac ini," katanya.
Terdahulu semasa berucap, Muhammad Azki Hafizi membidas Azizan sebagai Menteri Besar yang angkuh kerana tidak mahu mendengar pandangan pihak lain.
"Azizan sepatutnya siasat, bukan terima segala maklumat yang disampaikan Rektor Kuin, Prof Datuk Dr Jamil Osman yang merupakan sahabatnya bulat-bulat," katanya.
-- BERNAMA