Pages

Thursday 11 July 2013

26 PEKERJA INSANIAH HOLDINGS DISERAP SEBAGAI KAKITANGAN KUIN

Dato Mukhriz menyampaikan surat tawaran kepada pekerja kebersihan 
ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) -- Keputusan kerajaan Kedah menjadikan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai badan berkanun turut dinikmati 26 pekerja Insaniah Holdings Sdn Bhd yang diserap sebagai kakitangan tetap.
Pengarah Perhubungan Awam Kuin Muhammad Azki Hafizi Ibrahim berkata mereka yang terdiri daripada pekerja penyelenggaraan dan kebersihan itu akan menikmati semua kemudahan sebagai anggota sebuah badan berkanun.
Beliau berkata surat pelantikan pekerja itu diserahkan sendiri Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin kepada wakil mereka Salim Baharom pada perjumpaan dengan kakitangan Kuin baru-baru ini.
"Pelantikan ini menandakan kerajaan negeri juga prihatin dengan kebajikan kakitangan anak syarikat milik Kuin kerana antara mereka ialah ibu tunggal yang mempunyai tanggungan.
"Pengurusan Kuin berharap pelantikan ini menggembirakan semua pihak terlibat terutama dalam menyambut bulan Ramadan al Mubarak ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Mukhriz ketika mengumumkan institusi pendidikan swasta milik kerajaan negeri itu dijadikan badan berkanun, berkata tindakan itu bermakna semua kakitangan Kuin bakal menikmati enam kelebihan antaranya kenaikan gaji 13 peratus mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan mengguna pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012.
Sementara itu, seorang pekerja terlibat yang ditemui melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional Kedah yang diterajui Mukhriz kerana tidak mengenepikan golongan bawahan.
Pekerja pembersihan, Amnah Omar, 48, berkata Insaniah Holdings mengalami masalah kewangan sehingga gaji mereka tidak dibayar dan Kuin tampil menyelesaikan masalah itu.
"Saya dan rakan-rakan sangat lega dengan keputusan kerajaan Kedah menyerap kami sebagai kakitangan tetap Insaniah Holdings," katanya.
-- BERNAMA