Pages

Tuesday 9 July 2013

100713 - BERITA HARIAN : KUIN NAIK TARAF BADAN BERKANUN: KAKITANGAN BAKAL TERIMA INSENTIF SEBAGAI PENJAWAT AWAM


Berita Harian Nasional
ALOR SETAR : Seramai 550 kakitangan Kolej Universiti Insainah (KUIN) menerima durian ruuntuh apabila status KUIN milik kerajaan negeri itu diumum bakal dilonjak sebuah badan berkanun.




Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, ketika berucap selepas melakukan lawatan mengejut sempena perjumpaan bulanan kakitangan KUIN di kampus induk universiti itu di Kuala Ketil, dekat sini, semalam sekali gus menutup spekulasi kononnya KUIN bakal diswastakan.  Berdasarkan maklumat, Mukhriz ketika berucap mengumumkan kerajaan negeri dan Ahli Lembaga Pengarah KUIN bersetuju melaksanakan sekurang-kurangnya menerima pakai pekeliling perkhidmatan kerajaan untuk melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara demi memastikan kebajikan dan hak kakitangan KUIN dipelihara. 
Sebahagian kakitangan bergambar dengan MB selepas pengumum dibuat



Antaranya termasuk kenaikan gaji 13 peratus kepada kakitangan KUIN mengikut Sistem Saraan Malaysia (SSM) berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012, kenaikan kadar bantuan sara hidup RM50, pemberian pemindahan gaji kepada kakitangan KUIN mengikut Sistem Saraan Baru (SSB) serta penambahbaikan jadual gaji kepada kakitangan KUIN mengikut SSM. 



Selain itu, Menteri Besar turut mengumumkan persetujuan untuk menerima pakai pekeliling perkhidmatan kerajaan terutama dalam soal pemberian imbuhan tahunan dan bayaran khas prestasi atau dikenali bonus tahunan kepada semua kakitangan KUIN. 




Pengarah Jabatan Perhubungan Awam KUIN, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim, dalam satu kenyataan di sini, semalam mengesahkan pengumuman dibuat Menteri Besar itu yang menerima tepukan gemuruh semua warga KUIN kerana kerajaan negeri mengembalikan hak yang pernah dituntut kakitangan melalui gerakan Bersih KUIN sebelum ini. 



"Kita lihat kerajaan negeri terpaksa menanggung implikasi kewangan lebih RM 3.4 juta setahun melalui pengumuman itu, namun demi kebajikan kakitangan KUIN ia dianggap hadiah terbaik daripada pihak kerajaan negeri kepada semua kakitangan. 



"Tidak hairanlah pengumuman dibuat Menteri Besar itu diibaratkan sebagai durian runtuh untuk kakitangan KUIN, lebih-lebih lagi ia dibuat tidak sampai 24 jam selepas beliau memberi jaminan untuk memberi perhatian bagi menyelesaikan masalah dan kelemahan KUIN," katanya.