Pages

Monday 8 April 2013

AZIZAN NYATA NYANYOK : KAITKAN KUIN DENGAN UMNO UNTUK TUTUP PENYELEWENGAN JAZAN

Utusan Malaysia  : Azizan mula meroyan

Sumber : Utusan

ALOR SETAR 7 April - Di sebalik pelbagai isu yang melanda Kolej Universiti Insaniah (Kuin) termasuk soal kelemahan pengurusan yang dibangkitkan kakitangannya sendiri kerajaan Pas Kedah tetap mengaitkannya dengan UMNO bagi memberikan persepsi negatif terhadap parti berkenaan.

Terbaharu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menuduh UMNO sebagai punca insiden lebih 1,000 pelajar Kuin yang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di beberapa lokasi di luar kampus baharu itu ekoran kemudahan asrama belum siap baru-baru ini.

Tanpa mengemukakan sebarang bukti, Azizan berkata, kejadian itu berpunca kerana UMNO membuat laporan kepada Kementerian Pengajian Tinggi sehingga cadangan pengurusan Kuin untuk menggunakan bangunan di dalam kampus tersebut sebagai penginapan sementara tidak dapat dilaksanakan.

"UMNO lapor kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang turun dua tiga kali dan tidak membenarkan kita menggunakan bangunan itu untuk asrama pelajar walaupun mereka sudah datang.

"Kalau digunakan akan didenda. Kita sudah masukkan katil di situ, tetapi terpaksa angkut balik keluar. Ibu bapa tunggu sehari, pelajar dihantar ke Paya Pahlawan Jitra," katanya.

Beliau berucap sempena pelancaran manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pakatan pembangkang khusus untuk negeri ini di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, di sini, malam tadi.

Azizan memberikan alasan, pembinaan asrama kekal Kuin tidak dapat disiapkan kerana masalah kos pembinaan yang meningkat ekoran kejadian runtuhan stadium di Terengganu baru-baru ini, sehingga menyebabkan bahan-bahan binaan itu dinilai semula.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menggunakan kesempatan pentas ceramah itu untuk menjelaskan persoalan dibangkitkan Skuad Bersih Kuin mengenai pelbagai isu di kolej tersebut.

Antara persoalan pernah dibangkitkan skuad berkenaan adalah tindakan pengurusan tertinggi kolej universiti itu yang terburu-buru memindahkan operasi ke kampus baharunya di Kuala Ketil sedangkan kelengkapan penting seperti penginapan untuk menampung kemasukan pelajar belum disempurnakan.

Sebaliknya beliau hanya menceritakan mengenai kejadian pada hari pendaftaran asrama bagi sesi pengajian baharu selepas berlaku perubahan saat-saat akhir, dengan memindahkan penginapan pelajar di luar kampus itu bagi mengelak tindakan Kementerian Pengajian Tinggi.