Pages

Thursday 23 May 2013

EXCO PENDIDIKAN KEDAH KESAL REKTOR LETAK JAWATAN TANPA MAKLUM

Sumber :

Bernama
Utusan 
Berita harian
Sinar

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul Urus Md Zin hari ini meluahkan rasa kesal atas tindakan Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Datuk Dr Jamil Osman yang meletak jawatan secara mendadak.

    
Katanya sekalipun kerajaan negeri kini diteraju BN, Jamil sepatutnya lebih profesional dan mengetepikan perbezaan politik demi menangani masalah yang dihadapi Kuin.
    
"Pagi tadi saya berkesempatan melawat ke Kampus Mergong, Alor Setar dan bertemu dengan kesatuan pelajar. Ada dua rungutan utama iaitu berhubung kelayakan pensyarah dan juga kemudahan asrama serta surau yang perlu ditambah baik, manakala sebelah petang saya berkunjung ke kampus di Kuala Ketil di sini.
    
"Ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan rektor, tetapi saya dimaklumkan tadi bahawa rektor sudah menghantar surat peletakan jawatan pada 20 haribulan lalu. Saya juga agak kecewa, sepatutnya rektor juga ada bersama hari ini," katanya ketika ditemui media selepas melawat kampus Kuin di Kuala Ketil.
    
Menurut Tajul Urus, beliau dimaklumkan oleh pihak pentadbiran Kuin peletakan jawatan Jamil berkuat kuasa pada hari beliau menghantar surat iaitu Isnin lepas.
    
Tajul Urus dipertanggungjawabkan Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk melihat masalah yang dihadapi Kuin serta mengemukakan penyelesaian yang menjamin kebajikan pelajar dan warga kerja Kuin.
    
Antara masalah berkenaan ialah dakwaan warga kerja Kuin bahawa pihak pengurusan menyeleweng kerana gagal melakukan caruman kepada pihak ketiga walaupun pemotongan gaji dicatat pada slip gaji mereka.
    
Kerajaan negeri dan Kuin juga terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM46 juta setahun bagi pembinaan kampus induk di Kuala Ketil. Kampus induk itu juga tidak mempunyai kemudahan asrama yang menyukarkan kehidupan pelajar yang terpaksa berpindah-randah. 
    
BN Kedah mewarisi masalah itu yang timbul ketika Kedah diteraju PAS sejak 2008 hingga pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu.
    
Mengulas pelantikan rektor baru, Tajul Urus berkata seorang pentadbir akan ditempatkan di situ sementara menunggu pelantikan baru oleh Lembaga Pengarah Kuin.
    
Mengenai hasil lawatannya hari ini, beliau berkata ada beberapa perkara yang dibangkitkan termasuk mengenai kursus yang ditawarkan dan bilangan pelajar.
    
"Kita akan minta laporan menyeluruh daripada Kuin dan akan berjumpa dan berbincang dengan Menteri Besar untuk buat cadangan dan keputusan. Apa yang penting, kita mahu Kuin sama seperti kolej-kolej swasta terkemuka yang lain," katanya.
    
Beliau tidak menolak akan berlaku rombakan terhadap program yang ditawarkan Kuin jika tindakan itu memberi manfaat kepada Kuin.
    
Kuin kini mempunyai 6,000 pelajar dengan 1,500 daripadanya belajar di kampus Kuala Ketil yang mula dibuka awal tahun ini, manakala selebihnya masih berada di kampus lama di Mergong.
    
- Bernama