Pages

Monday 18 June 2012

MEMORANDUM KAKITANGAN KUIN KALI PERTAMA : LANGSUNG TIADA RESPON JAMIL, JOM BACA

LAMPIRAN MEMORANDUM YANG DISERAHKAN KEPADA REKTOR DAN SALINAN KEPADA AHLI LEMBAGA PENGARAH KUIN

MEMORANDUM PERTAMA

Tuntutan Pembayaran tertunggak kepada pihak ketiga  oleh KUIN sedangkan  potongan gaji pekerja telah dibuat di dalam slip gaji

SITUASI SEMASA

Keadaan semasa yang berlaku di KUIN sekarang ini adalah KUIN tidak membuat bayaran pada masa yang sepatutnya  kepada pihak-pihak ketiga yang telah dinyatakan di atas dan mewujudkan tunggakan-tunggakan bayaran. Keadaan ini sangat menyedihkan apabila potongan gaji pekerja-pekerja KUIN telah dibuat, tetapi pembayaran kepada pihak-pihak ketiga tersebut adalah tidak selaras dengan potongan gaji yang dibuat pada setiap bulan.

Sebahagian sample disenaraikan tunggakan-tunggakan yang berlaku dalam bentuk tempoh berapa (bulan yang tidak dibayar oleh KUIN):

Sebahagian daripada pihak ketiga terlibat
1.Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),
2.Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),
3.Lembaga Tabung Haji,
4.Public Islamic Finance
5.Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
6.Bank Simpanan Nasional
7.Bank Persatuan
8.Agro Bank
9.Koperasi Wawasan Pekerja-pekerja Berhad (KOWAMAS)
10.Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat)
11.ETIQA
12.Bank Muamalat
13.Pusat Zakat Kedah



IMPLIKASI DAN KESAN PENGABAIAN KEBAJIKAN KAKITANGAN KUIN

Implikasi yang besar perlu ditanggung oleh pekerja KUIN. Implikasi-implikasi yang akan ditanggung oleh pekerja KUIN boleh diringkaskan seperti mana di bawah:
  • Caj kelewatan bayaran yang dikenakan oleh bank akan ditanggung oleh pekerja KUIN sedangkan potongan gaji dilakukan setiap bulan.
  • Ada sebahagian pekerja terpaksa menerima surat amaran peguam untuk diambil tindakan mahkamah, semestinya kos peguam akan ditanggung oleh pekerja KUIN.
  • Pembayaran gaji pekerja adalah melalui BIMB, oleh itu BIMB telah memotong terus bayaran tertunggak pekerja apabila gaji terus dimasukkan ke dalam akaun, dengan itu pekerja telah membayar pembiayaan tersebut sebanyak dua (2) kali dalam satu bulan, keadaan ini menyebabkan gaji pekerja berkurangan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang perlu di bayar juga terjejas.
  • Disebabkan implikasi ke-3 yang dinyatakan di atas, pekerja KUIN yang membuat pembiayaan dengan BIMB akan mengeluarkan segera duit gaji masing-masing untuk mengelakkan potongan dua (2) kali dan memasukkan gaji mereka ke akaun yang lain. Keadaan ini menganggu urusan perbelanjaan-perbelanjaan yang lain dan membuang masa.
  • Pekerja KUIN juga menerima panggilan-panggilan peringatan daripada pihak bank mendesak agar dibuat bayaran segera, keadaan ini menyebabkan gangguan emosi pekerja KUIN, termasuk tindakan penarikan balik pemilikan kereta daripada pihak Bank.
  • Dividen yang patut diperolehi daripada caruman di KWSP dan Tabung Haji tidak dapat diperolehi sepenuhnya akibat caruman yang tidak dikemaskini sebaiknya.Ini merugikan pencarum.
  • Polisi insuran pekerja KUIN telah ditamatkan oleh syarikat insuran akibat kegagalan KUIN membayar sedangkan gaji pekerja telah dipotong setiap bulan. Sebahagiannya lagi menaggung risiko kelewatan pembayaran menyebabkan tuntutan kepada kematian , kemalanagan atau keilitan akan mengahadapi masalah.
  • Akibat kegagalan KUIN membayar pembiayaan-pembiayaan pekerja ke institusi kewangan yang berkaitan, nama pekerja yang terlibat telah disenaraikan di CREDIT REFERENCE INFORMATION SYSTEM (CCRIS). CCRIS adalah sistem pangkalan data berkomputer yang menyimpan maklumat yang telah dilaporkan oleh setiap institusi kewangan. Kebanyakan institusi kewangan di Malaysia akan menghantar maklumat dalam bentuk laporan bulanan berkenaan kesemua pinjaman yang telah diberikan kepada pelanggan mereka kepada Jabatan Kredit di Bank Negara Malaysia. Data pinjaman yang diterima dari institusi kewangan oleh Bank Negara akan diproses oleh CCRIS kepada format laporan kredit, dimana ianya boleh diakses oleh mana-mana institusi kewangan apabila diminta oleh mereka.
  • Pembayaran yang lewat kepada pihak-pihak ketiga ini menyebabkan nama baik pengurusan  KUIN akan tercalar.
  • Motivasi diri pekerja menurun kerana , faktor pendapatan dan perbelanjaan daripada gaji pekerja terdapat masalah.
  • Kebanyakan pihak yang menawarkan pembiayaan telah menyenarai hitamkan KUIN sebagai pelanggan mereka.

 TUNTUTAN

Sehubungan dengan itu, kami pekerja KUIN dengan rasa rendah diri menuntut perkara-perkara di bawah diambil tindakan yang serius seperti berikut  :
  1. Semua bayaran yang tetunggak kepada pihak-pihak ketiga perlu dijelaskan dalam masa yang terdekat (1 BULAN)
  2. Bagi pembayaran semasa, pihak KUIN mestilah membuat pembayaran seperti pemotongan yang dilakukan di dalam slip gaji yang diberikan kepada kakitangan KUIN.
  3. Pihak kakitangan amat berharap agar perkara yang berlaku tidak akan berulang buat kali yang seterusnya  di masa hadapan.


.................................................................................................................


MEMORANDUM KEDUA

TUNTUTAN KENAIKAN GAJI 13 HINGGA 20 PERATUS


1.0  PENDAHULUAN
Memorandum ini dibuat adalah  menuntut supaya Pekeliling  Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2012 mengenai  kenaikan gaji Pegawai Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 2012 mengenai Kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup sebanyak RM 50.00 seperti yang dinikmati oleh penjawat awam serta kakitangan Kerajaan Negeri diguna pakai kepada kakitangan  Kolej Universiti Insaniah.

2.0  LATAR BELAKANG
Mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN pada 23 April 2012 yang lalu telah bersetuju untuk menangguhkan sementara penerimaan gunapakai :
  1.  Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 2012
    1. Kenaikan gaji Pegawai Perkhidmatan Awam sebanyak  13 %
    2. Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 2012
      1. Kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup sebanyak RM 50.00
Namun penangguhan tersebut adalah tidak jelas sama ada :
  1. Ditangguhkan untuk dikaji semula status KUIN sebagai sebuah organisasi yang masih boleh menerima pakai Pekeliling  Perkhidmatan Awam  untuk mendapat kenaikan 13 % atau sebaliknya; atau
  2. Ditangguhkan kepada suatu tarikh yang tidak dinyatakan dan tiada alasan penangguhan.
Selain itu dalam kenyataan akhbar daripada YAB Dato Seri Diraja Pengerusi Ahli Lembaga KUIN pada 8 Mei di dalam akhbar Sinar Harian  menyatakan  KUIN adalah institusi swasta , sedangkan  pelarasan itu adalah untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kenyataan ini menimbulkan pelbagai tanggapan dan tandatanya di kalangan kakitangan KUIN yang selama ini menikmati semua Pekeliling yang diguna pakai dalam Perkhidmatan Awam.

3.0  JUSTIFIKASI TUNTUTAN

Pihak kakitangan KUIN menuntut agar pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 2012 (Kenaikan gaji Pegawai Perkhidmatan Awam) dan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 2012 (Kenaikan Kadar Elaun Bantuan Sara Hidup) di guna pakai untuk kakitangan KUIN dengan alasan seperti berikut :
3.1  Sepanjang perjalanan KUIN bermula daripada penubuhan pada 1995 hingga kini mengguna pakai sistem perkhidmatan yang dilaksanakan dan diperkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bermula dengan skim SSB  hingga SSM.

3.2  Pada Mesyuarat Lembaga Pengarah KUIN (Ketika itu Majlis Lembaga) kali keempat tahun 1996 bertarikh 14 April 1996 telah memutuskan untuk menerima pakai mana-mana Pekeliling yang dipersetujui dan di terima pakai oleh Kerajaan Negeri .

3.3  Kenaikan gaji 13 % dan kadar bantuan sara hidup kepada semua kakitangan KUIN merupakan motivasi besar dalam menjayakan misi dan visi KUIN

3.4  Pihak Kerajaan Negeri Kedah menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 4 April 2012 yang lalu telah bersetuju mengguna pakai Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 2012 (Kenaikan gaji Pegawai Perkhidmatan Awam) dan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 2012 (Kenaikan Kadar Bantuan Sara Hidup) kepada semua Jabatan Negeri Kedah, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri.


4.0  TUNTUTAN

Sehubungan dengan itu pihak kakitangan KUIN dengan rendah diri menuntut agar Pekeliling  Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2012 mengenai  kenaikan gaji Pegawai Perkhidmatan Awam dan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 2012 mengenai Kenaikan Kadar Elaun Bantuan Sara Hidup sebanyak RM 50.00 digunapakai kepada kakitangan KUIN  dengan menggunakan salah satu daripada opsyen berikut :
4.1  OPSYEN PERTAMA

-          Menerima pakai  Pekeliling Perkhidmatan Awam seperti berikut :
  • Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 1 Tahun 2012  
    • Kenaikan gaji Pegawai Perkhidmatan Awam sebanyak  13 %
    • Pekeliling  Perkhidmatan Awam Bil. 3 Tahun 2012
      • Kenaikan elaun sara hidup sebanyak RM 50.00
-          Membayar tunggakan bermula pada bulan Januari 2012


4.2  OPSYEN KEDUA

-          Jika sekiranya KUIN dianggap sebuah institusi swasta , pihak kakitangan menuntut pembayaran kenaikan adalah seperti berikut :
  • Memberikan kenaikan  gaji  kepada  kakitangan KUIN sebanyak 20 %
  • Memberikan kenaikan elaun sara hidup kepada kakitangan KUIN sebanyak RM 100.00
-          Membayar tunggakan bermula pada bulan Januari 2012


5.0  JUSTIFIKASI KEWANGAN
Pihak KUIN apabila menerima salah satu daripada kedua dua opsyen di atas , perlu menanggung bebanan kewangan yang lebih berbanding biasa . Sehubungan itu saya lampirkan implikasi kewangan yang akan dihadapi oleh KUIN dalam menerima tuntutan ini :
5.1  JIKA PEMILIHAN OPSYEN PERTAMA
  • Pertambahan perbelanjaan pihak KUIN adalah seperti berikut :
    • RM 565,000.00 - Bayaran kenaikan bermula bulan Januari hingga Mei 2012)
    • Manakala implikasi kewangan bulanan sebanyak RM 163,000.00 sebulan

5.2  JIKA PEMILIHAN OPSYEN KEDUA
  • Pertambahan perbelanjaan pihak KUIN adalah seperti berikut :
    • RM 605,000.00 - Bayaran kenaikan bermula bulan Januari hingga Mei 2012)
    • Manakala implikasi kewangan bulanan sebanyak RM 251,000.00 sebulan

6.0  PENUTUP

Saya yang menyampaikan hasrat mewakili suara pekerja KUIN seperti yang dipersetuji di dalam mesyuarat Majlis Bersama Jabatan (MBJ) amat berharap agar kebajikan kami diberikan perhatian serius oleh pihak KUIN . Adalah menjadi satu penganiyaan dan ketidakadilan kepada semua kakitangan KUIN jika alasan yang diberi bersandar kepada faktor kekangan kewangan. Salah satu punca defisit kewangan KUIN adalah ketidak telusan dan ketidak cekapan penggunaan kewangan (yang disalurkan kepada pentadbiran Holding).
Segala perhatian dan sokongan dalam memartabatkan sumber manusia akan memberikan kesan yang besar dalam memartabatkan KUIN di rantau ini.

Disediakan oleh:
Majlis Bersama Jabatan
Kolej Universiti Insaniah

(Ini merupakan memorandum tuntutan bagi kali pertama , pihak MBJ akan meneliti semua perkembangan terkini dan akan menghantar memorandum kali kedua dan ketiga bagi mendesak agar pihak KUIN lebiih telus dalam menjaga kebajikan kakitangan KUIN)

(Pihak admin BERITA KUIN tidak bertanggungjawab dengan semua artikel  yang di hantar melalui email kepada admin untuk disiarkan)