Pages

Sunday 24 February 2013

STAF KUIN CUMA TUNTUT HAK, NAFI JADI EJEN POLITIK

Sumber :
Bernama/ Utusan/Sinar
 
KUALA NERANG, 24 Feb  -- Kakitangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) hanya menuntut hak mereka yang dikata diabaikan kerajaan Kedah dan bukan menjadi ejen parti politik tertentu.

Menegaskan demikian, ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tuduhan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pengerusi KUIN bahawa kakitangan KUIN sebagai ejen UMNO adalah tidak benar.

"Kalau mereka berani berhadapan dengan media, berani buat laporan polis, bawa memorandum ke Wisma Darul Aman dan pensyarah KUIN sendiri adakan sidang media, saya tidak fikir mereka jadi ejen sesiapa.

"Pada saya mereka menuntut hak sahaja tapi kalau kerajaan negeri tidak mampu nak tunaikan dan tidak cekap dalam urusan kewangan, inilah jadinya bila pandai bercakap sahaja," kata Mahdzir.

Beliau diminta mengulas dakwaan yang dibuat oleh Azizan, selepas melancarkan program khidmat masyarakat Mara dan penyerahan baucer buku 1Malaysia di Kolej Mara Kuala Nerang di Kuala Nerang, Ahad.

Tuduhan Azizan bahawa kakitangan KUIN terbabit tidak hadir pada mesyuarat dengan beliau bagi membincangkan masalah dihadapi mereka adalah palsu, kata Mahdzir.

Menurut penjelasan Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim Jumaat lepas bahawa pernah cuba berbincang dengan Azizan mengenai isu tersebut pada Mei tahun lepas tetapi tidak mendapat perhatian Azizan.

Mahdzir berkata slogan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' yang dibawa PAS tidak bermakna kerana mereka tidak mempraktikkannya.

-- BERNAMA