Pages

Saturday 12 May 2012

GANTUNG PENGAJIAN 5 PELAJAR KUIN MENANG , KUIN KALAH

10 Mei 2012
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) bagi mencabar keputusan pusat pengajian tinggi milik negeri Kedah itu menggantung pengajian mereka kerana terbabit dalam demonstrasi Mei tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan keputusan Kuin itu melampaui kuasa dan pelajar terbabit boleh meneruskan pengajian mereka di Kuin.

"Perintah perisytiharan bahawa kaedah-kaedah Kojej Universiti Insaniah (Tatatertib Pelajar 2007) adalah ultra vires di bawah Seksyen 46 (1) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

"Perintah deklarasi/perisytiharan bahawa Kaedah-kaedah Kolej Universiti Insaniah (Tatatertib Pelajar) 2007 juga ultra vires," katanya.

Mereka yang diwakili peguam Azhana Mohd Khairudin manakala Kuin diwakili, peguam Karpal Singh.
Pelajar terbabit terdiri Mohd Faiz Mohd Arshad, 29; Muhamad Aiman Che Ab Razab, 23;  Mohd Azlan Mat Zain, 32; Ahmad Remi Mohd Aras, 25 dan Zulkhilatif Marzukh.

Empat daripada pelajar terbabit hadir manakala Mohd Azlan tidak hadir kerana kurang sihat.

Pentadbiran Kuin menggantung lima pelajar terbabit berikutan mereka terbabit dalam demonstrasi membantah tindakan pengurusan Kuin mengambil bangunan asrama untuk dijadikan kolej Bestari Insan, April tahun lalu.

Mohd Faiz digantung pengajian selama dua semester yang berakhir bulan lalu manakala tempoh penggantungan empat lagi rakannya telah pun berakhir dan mengikuti pengajian mereka di Kuin.
Mereka memfailkan semakan kehakiman mencabar hukuman penggantungan pengajian mereka pada 5 Ogos lalu. - Sinar Harian