Pages

Sunday 15 July 2012

MAJLIS SAH KHATAM ALQURAN 2012 TAHFIZ YAYASAN MERIAH DENGAN BARAKAH DARI ALLAH

Hebat diploma tahfiz di bawah pentadbiran yayasan Islam
Majlis Sah Khatam Al-Quran merupakan acara tahunan bagi Ma'had Tahfiz Negeri Kedah sejak dari tahun 90-an lagi. Majlis ini adalah sebagai pengiktirafan pihak Ma'had Tahfiz kepada para pelajar yang telah berjaya menamatkan proses hafazan 30 juzuk Al-Quran. Setelah hampir setahun Ma'had Tahfiz kembali bernaung di bawah Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) setelah di ''nyah" keluar oleh pentadbiran KUIN, maka Ma'had Tahfiz terus mengorak langkah meneruskan usaha-usaha memartabatkan Al-Quran di bumi Kedah khususnya sekalipun tidak mendapat tempat di hati pembesar-pembesar KUIN.

Majlis Sah Khatam Al-Quran hari ini menyaksikan seramai 54 orang pelajar Tahfiz lelaki dan perempuan berjaya menamatkan hafazan mereka. Majlis pada hari ini turut dihadiri oleh kesemua 18 staf Tahfiz yang telah dihukum secara zalim oleh pihak pengurusan KUIN dengan meminjam mereka ke YINK untuk tempoh 2 tahun. Hukuman ini yang pada awalnya sebagai balas dendam oleh pihak KUIN terhadap demo membantah pengambilalihan bangunan ar-razi oleh Sek Men Insan Bestari tetapi akhirnya membawa kebaikan buat mereka apabila kebajikan mereka dijaga dengan baik di bawah pentadbiran yang tahu menilai kemuliaan Al-Quran dan ahli-ahlinya.
Kebajikan ulamak tahfiz terbela di bawah Yayasan Islam, namun tidak di bawah KUIN

Bagi pihak yang tidak memahami isu ini (termasuklah penyokong tegar PAS), maka mereka dengan mudah melemparkan tuduhan bahawa tindakan staf Tahfiz tersebut (demo) didalangi oleh UMNO. Staf Tahfiz bukan jenis golongan yang mudah untuk dipergunakan oleh sebarang pihak kerana mereka ada Al-Quran di dalam dada mereka. Maka sudah tentu apa yang mereka buat adalah semata-mata untuk menegakkan kebenaran dan membela pelajar-pelajar Tahfiz yang teraniaya dan bukannya untuk keuntungan mana-mana parti politik.
Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada staf Tahfiz untuk memperjuangkan Al-Quran di atas muka bumi Allah. Apa yang pasti ialah, apabila golongan Ahlullah wa Khassatuh ini dimusuhi, maka orang yang memusuhi mereka tidak akan dapat hidup dengan aman tenteram kerana mereka sebenarnya telah menempah kemurkaan dari Allah.