Pages

Friday 16 November 2012

KURSUS TERLALU BANYAK TETAPI TIADA SAMBUTAN PUNCA KRISIS KEWANGAN KUIN


ALOR SETAR 15 Nov. - Tindakan Kerajaan Pas Kedah yang terlalu 'rakus' mewujudkan lebih 40 kursus di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menjadi antara punca institusi pengajian tinggi itu berdepan dengan pelbagai masalah ketika ini.

Bekas Pengerusi Kuin, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tawaran kursus yang terlalu banyak dipercayai bagi tujuan komersial memberi kesan negatif kepada pentadbiran dan pengurusan kolej universiti berkenaan selepas jumlah pelajar memasukinya tidak mencapai sasaran.

"Kuin perlu menyediakan segala keperluan termasuk prasarana, pensyarah dan membayar gaji kakitangan tetapi apabila jumlah kemasukan pelajar tidak mencapai sasaran, kolej universiti itulah yang terpaksa menanggung kos pentadbiran serta pengurusan.

"Bahkan apabila banyak sangat perkara nak urus, maka akan timbul banyak kekurangan disebabkan kelemahan pentadbiran daripada kerajaan negeri sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sejak beberapa bulan lalu, Kuin dilanda pelbagai krisis termasuk yang terbaharu Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Negeri Kedah membuat laporan polis kerana Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat yang ditawarkan di kolej itu masih gagal mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Mahdzir yang juga Ketua Pembangkang negeri berkata, semasa Kedah di bawah pentabdiran Barisan Nasional (BN), sebanyak lapan kursus diwujudkan di Kuin dengan tumpuan diberikan kepada bidang pengajian Islam seperti Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab.

Katanya, bidang berkenaan bersesuaian dengan Kuin yang dahulunya dikenali dengan Institut Agama Islam Negeri Kedah (Insaniah).

"Seelok-eloknya Kuin memilih dan memberi tumpuan terhadap kursus yang sesuai serta menapis kursus-kurus ingin ditawarkan. Biar Kuin kukuh dalam bidangnya sendiri seperti sejak dari awal penubuhan Insaniah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam.

"Pada masa sama, jumlah tawaran kursus itu biarlah padan dengan kemampuan. Umpamanya kita ada modal sedikit tetapi hendak berniaga macam-macam, sudah tentulah tidak mampu," katanya.

Sementara itu, bekas Pendaftar Insaniah, Datuk Syeikh Abdul Razak Mohd. Yusof, 70, mengakui pengurusan kolej tersebut sebelum ini lebih mudah kerana jumlah kursus ditawarkan tidak begitu banyak.
Ditanya cadangannya mengenai cara sesuai untuk mengembangkan kolej itu, beliau berkata, terpulang kepada pihak pengurusan yang terlibat pada masa ini jika mereka mampu dari segi kewangan.

"Mungkin mereka nampak cara dibuat ini boleh mengembangkan lagi kolej itu, cuma masalahnya ialah kemampuan dari segi kewangan," katanya ketika ditemui selepas dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Kedah pada majlis sambutan Maal Hijrah 1434 peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.