Pages

Monday 22 October 2012

ANAK SYARIKAT KERAJAAN KEDAH RUGI AKIBAT KEGAGALAN PROJEK UTAMA, TAPI DIKUIN PROJEK UTAMA KUIN RUGI SEBAB ANAK SYARIKAT

October 15, 2012
KUALA LUMPUR, 15 Okt — Kegagalan pelaksanaan beberapa projek utama oleh anak syarikat dibawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) merupakan salah satu punca kerajaan negeri mencatat kerugian, menurut Laporan Ketua Audit Negara hari ini.

Dalam laporan tersebut, empat anak syarikat yang terdiri daripada Kedah Corporation Berhad (KCB), Kedah Agro Industries & Marketing Berhad (KAIMB), Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Kedah BioResources Corporation Sdn. Bhd. (KBioCorp) telah dipilih untuk diaudit Jabatan Audit Negara.

Antara projek yang didapati oleh pihak audit yang merugikan ialah antaranya projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea dan projek 99 East di Langkawi.


Akibatnya, prestasi kewangan KCB bagi tahun 2008 hingga tahun 2010 secara keseluruhannya adalah lemah kerana mencatatkan kerugian sebelum cukai bagi 3 tahun berturut-turut.

KCB mengalami kerugian berjumlah RM1.51 juta pada tahun 2008 dan kemudiannya terus mencatatkan penyusutan kerugian pada tahun 2009 dan 2010 105 masing-masing berjumlah RM0.97 juta dan RM0.31 juta  dan seterusnya menyebabkan kerugian terkumpul KCB meningkat kepada RM2.85 juta pada tahun 2010.


Selain itu, prestasi anak syarikat KAIMB hampir sama dengan KCB apabila projek ternakan udang di Kerpan dan projek tanaman getah dan kelapa sawit yang dijalankan terdapat kelemahan dari segi pelaksanaan perjanjian dan pemantauan.

KAIMB juga didapati oleh pihak audit tidak membuat pembayaran dividen kepada syarikat induk dan tidak mempunyai Jawatankuasa Audit Dalam seperti yang ditetapkan oleh Pekeliling Perbendaharaan.

KAIMB hanya memperolehi keuntungan pada tahun 2008 dan kemudiannya mengalami kerugian pada 2 tahun berikutnya. Keuntungan terkumpul KAIMB juga telah menyusut daripada RM2 juta pada tahun 2008 kepada RM1.67 juta pada tahun 2010.

Dua lagi anak syarikat dibawah PMBKed iaitu PKB atau KBioCorp pula mencatatkan prestasi sekadar memuaskan walaupun kedua-duanya mencatatkan keuntungan pada 2010 lalu.

Menurut laporan audit, PKB mengalami kerugian pada tahun 2008 sejumlah RM0.55 juta walaubagaimanapun pada tahun 2009 dan 2010 PKB telah mendapat keuntungan masing-masing berjumlah RM0.71 juta dan RM0.70 juta.

Manakala, KBioCorp berjaya mengatasi kerugian yang dialami pada tahun 2008 dan 2009 dengan mencatatkan keuntungan pada tahun 2010 berjumlah RM0.14 juta. Kerugian pada tahun 2008 dan 2009 adalah masing-masing berjumlah RM0.19 juta dan RM0.11 juta.

Secara keseluruhannya, pihak audit memberi penekanan ke atas dua anak syarikat PMBKed ekora kerugian yang dicatatkan iaitu KCB dan KAIMB memberikan syor supaya kajian yang terperinci dijalankan sebelum terlibat dalam pelaburan yang berisiko tinggi dan berskala besar untuk mengelak kerugian pada masa depan.
Manakala bagi PKB dan KBioCorp, walaupun prestasi kewangan adalah memuaskan pihak audit telah mencadangkan kedua-duanya masih perlu meningkatkan keuntungan supaya mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dalam mengimbangi liabiliti semasanya.